Wanita bersama dua anak cedera dalam kemalangan

0

Beginilah keadaan kereta mangsa yang terbalik.

SANDAKAN: Seorang wanita bersama dua anaknya cedera selepas kereta yang dipandunya melanggar sebuah kereta lain sebelum terbalik di pembahagi jalan berhampiran Perpustakaan Sandakan Jalan Leila, pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, wanita berkenaan yang memandu kereta jenis Perodua Kembara sedang dalam perjalanan menghantar dua anaknya ke sekolah sebelum terlanggar sebuah Proton Waja dipercayai semasa hendak tukar lorong dari kanan ke kiri sebelum terbalik.

Seorang pekerja sebuah syarikat pelancongan Haji Nur Amin Haji Hassan berkata dia terdengar kejadian itu semasa sedang mencuci van syarikat yang terletak tidak jauh dari tempat itu, lalu bergegas ke lokasi kemalangan berkenaan.

“Saya bersama pemandu kereta Waja yang dilanggar mangsa kemudiannya membantu mengeluarkan ketiga-tiga mangsa dari kereta mereka yang terbalik itu,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta Waja itu kemudiannya menghantar ketiga-tiga mangsa yang cedera ke Hospital Duchess of Kent untuk menerima rawatan.