Terima kasih atas kerjasama semua: Tun Salahuddin

0

TUN SALAHUDDIN: Tamat tempoh perkhid-matan sebagai TYT hari ini.

KUCHING: Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin menyampaikan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas layanan mesra serta kerjasama yang diberikan kepada beliau sepanjang menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Tun Salahuddin pada masa yang sama turut berterima kasih atas kerjasama Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja selain Yang di-Pertua Negeri lain atas kerjasama sepanjang menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak selama 13 tahun tiga bulan.

“Patik berharap kerjasama dan layanan sedemikian akan dapat diteruskan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu kelak.

“Dengan kesempatan ini, patik juga memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang tempoh menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak terdapat kesilapan dan kekasaran bahasa patik gunakan terhadap Duli-Duli Tuanku dan Tuan Yang Terutama Tun,” kata beliau.

Beliau berkata demikian berucap semasa menghadiri Majlis Mesyuarat Raja-Raja Yang Ke-234 di Istana Negara, Kuala Lumpur yang berakhir semalam.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu selain diiringi Menteri Besar masing-masing kecuali Pahang yang diwakili Tengku Mahkota Pahang dan Perak diwakili Raja Muda Perak.

Tun Salahuddin diiringi oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Ketua Menteri.

Tun Salahuddin akan tamat tempoh sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada hari ini.