Jasa 10 wira terkorban Ops Daulat akan terus dikenang

0

LAHAD DATU: Jasa 10 wira negara terkorban dalam Ops Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna setahun lepas akan terus dikenang seluruh rakyat Malaysia.

Peristiwa berdarah Tanduo dan Simunul itu seharusnya menjadi pengajaran untuk semua  tentang pentingnya rakyat negara ini bersatu mempertahankan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menganjurkan Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin di Masjid  Al Raudah, di sini kelmarin bagi memperingati pengorbanan anggota pasukan keselamatan negara yang maut dalam insiden pencerobohan pengganas itu.

Tragedi itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu berjaya ditembak mati.

Berucap pada majlis perasmian program murni itu,  Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam DCP Datuk Abdul Rashid Harun berkata acara itu antara lain bertujuan  mengenang atau tanda niat mendoakan kesejahteraan anggota yang telah meninggal dunia serta memperingati anggota pasukan keselamatan yang  dalam kejadian pencerobohan itu.

“Kita tidak melupakan pengorbanan wira-wira Ops Daulat malah ia menyuntik kepada pasukan keselamatan kita untuk terus berjuang mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah,’ katanya.

Turut hadir pada Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin itu ialah  Pengarah Bahagian Pertahanan  ESSCOM Mejar Jeneral Datuk Masrani Parman, Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan ESSCOM DCP Datuk Ahmad Nadzer Nordin  wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Omar  Mamah  dan Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali.

Tragedi pencerobohan itu membawa kepada penubuhan ESSCOM pada 1 April tahun lepas yang antara lain berperanan menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Kawasan ESSZONE merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. — Bernama