Pengiktirafan diberi kepada RELA harus dijaga

0

TAKLIMAT: Moses (berdiri tengah) mengetuai taklimat tersebut di Sibu semalam.

RELA kini semakin mencabar dan memerlukan kerjasama padu untuk menjayakannya, kata Moses

JULAU: Pengiktirafan tinggi diberikan kerajaan dan rakyat kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) harus dijaga untuk memastikan RELA terus relevan.

Pegawai RELA Julau Leftenan Kolonel (B) RELA Moses Sipan berkata, jika diimbas kembali bagaimana keadaan RELA pada awal penubuhannya, ia hanya sebagai mata dan telinga kerajaan dan benteng pertahanan setempat.

Namun katanya, RELA masa kini semakin mencabar dan memerlukan satu bentuk kerjasama padu untuk menjayakannya.

“Pengiktirafan tinggi yang diberikan kerajaan dan masyarakat kepada RELA jika tidak dijaga bukan sahaja menjadi tidak relevan malah akan berkubur begitu sahaja,” katanya pada Taklimat Asas Pengenalan RELA Siri 1/2014 di Rumah Sawang, Nanga Selaut, Julau.

Menurut Moses, RELA tidak lagi dilabel sebagai anggota keselamatan bantuan atau hanya layak menjaga pasar malam atau menjaga tempat letak kereta.

Tetapi, kini peranan RELA sangat besar dalam masyarakat dan terlibat bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dalam melakukan rondaan di sekitar kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian jenayah.

“Kerajaan telah mengiktiraf RELA sebagai sebuah organisasi yang memberi manfaat besar kepada negara,” ujarnya.

Moses turut memuji RELA di daerah itu kerana melakukan yang terbaik menjadikan mereka sebagai sebuah pasukan berwibawa.

Beliau memberitahu bahawa semangat kesukarelaan hendaklah disemai dalam jiwa setiap rakyat.

“Semangat kuat untuk berbakti kepada masyarakat perlu disemai terutama kepada golongan muda,” katanya.

Taklimat ringkas itu dihadiri kira-kira 80 anggota RELA Julau.