Warga emas di Tumpat maut selepas rumah dirompak

0

TUMPAT: Seorang wanita warga emas yang tinggal sendirian, maut disyaki selepas lehernya dijerut dan mulutnya disumbat dengan tuala oleh perompak yang memecah masuk rumahnya di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baharu di sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Wan Meriam Wan Mahmood, 85, ditemui terbaring di atas katil di dalam rumahnya oleh cucunya Mohd Faizal Abdul Samad, 30, yang sebelum itu menerima panggilan telefon dipercayai daripada mangsa.

Mohd Faizal yang tinggal berdekatan rumah neneknya, berkata dia menerima panggilan sebanyak dua kali dipercayai daripada neneknya dan segera pergi ke rumahnya selepas berasa curiga dengan keadaan itu kerana neneknya tidak pernah menelefonnya.

Kali pertama telefon berbunyi saya tidak sempat mengangkatnya bagaimanapun tiada siapa yang bersuara ketika saya mengangkat telefon pada panggilan kali kedua, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata ketika sampai di tempat kejaidan, dia terkejut melihat keadaan rumah yang berselerak sebelum mendapati neneknya yang berada di atas katil sudah tidak bernafas.

“Ketika saya sampai di rumah nenek, pintu dapur terbuka dan barang kemas berupa rantai, gelang dan juga wang tunai milik nenek sudah tiada,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Zaharudin Rasip ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati mangsa maut akibat jerutan di leher.

“Kita turut menemui lima kesan cap jari yang diambil di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan  Zainab II (HRPZ) Kota Baharu untuk dibedah siasat,” katanya

Zaharudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. — Bernama