Fahami hasrat dan tujuan kerajaan beri BR1M: Rubiah

0

UNTUK RAKYAT: Rubiah melakukan simbolik penyerahan BR1M kepada seorang penerima yang hadir pada Majlis Pelancaran Penyerahan BR1M 3.0 di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Pemberian kali ketiga bukti kerajaan prihatin kepada rakyat

KOTA SAMARAHAN: Rakyat Sarawak khasnya penduduk Kota Samarahan yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diharap dapat memahami hasrat dan tujuan kerajaan memberi bantuan tersebut.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, pemberian BR1M untuk kali ketiga kepada semua rakyat Malaysia yang layak mulai Februari lalu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

Jelasnya, pemberian BR1M 3.0 itu merupakan sebahagian daripada rancangan berterusan kerajaan membantu meringankan beban dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

“Malah, tahun ini BR1M 3.0 diperluaskan lagi kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

“Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Penyerahan BR1M 3.0 di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Rubiah menambah, kerajaan turut berupaya melaksanakan janji meningkatkan BR1M sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun sekiranya kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara kekal positif.

“BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berdepan masalah, melalui dasar-dasar yang mengukuh dan memacu pertumbuhan ekonomi yang sihat,” jelasnya.

Tambahnya, penelitian kenaikan jumlah pemberian itu juga dilihat selaras dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar sejajar dengan penggunaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, Rubiah memberitahu, setiap penerima BR1M kali ini turut menerima caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.6 bilion yang dapat memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud dan Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab.