Helikopter terbang jauh dari kawasan gugur risalah

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu bahawa juruterbang helikopter polis memilih untuk terbang tinggi dan jauh daripada kawasan sasaran ketika melaksanakan arahan menggugurkan risalah di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2 Mac tahun lepas.

ASP Nazarudin Husien darti Pasukan Gerakan Udara Polis DiRaja Malaysia Kota Kinabalu berkata ia merupakan kali kedua beliau melaksanakan arahan itu tetapi memutuskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan pertempuran di kampung berkenaan sehari sebelum itu.

“Berikutan pertempuran sehari sebelum itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak kawasan (sasaran) itu,” katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang menghadapi pertuduhan melakukan aktiviti berkaitan keganasan di Sabah tahun lepas.

Pada 25 Feb tahun lepas, Nazarudin menerbangkan helikopter itu dengan Korporal Asrizal Alui untuk menggugurkan risalah kira-kira 91.4 meter dari kawasan sasaran tetapi memilih untuk menerbangkan pesawat itu lebih jauh dan tinggi iaitu kira-kira 609.6 meter pada misi 2 Mac itu.

“Kami berharap dapat menggunakan faktor angin untuk menggugurkan risalah itu (ke kawasan sasaran),” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed jika beliau boleh mengingati semula kawasan spesifik di Kampung Tanduo di mana risalah itu digugurkan, Nazarudin berkata: “Ia di sekitar rumah yang ada bendera.”

Semasa pemeriksaan balas kemudian, Abdul Wahab menyoal Nazarudin mengapa beliau tidak bertanya mengenai risalah itu kepada Asrizal, yang ditugaskan menggugurkan risalah berkenaan di Kampung Tanduo.

Abdul Wahab: Semasa pemeriksaan balas anda memberitahu bahawa anda tidak bertanya apa yang tertulis dalam risalah itu. Sila jelaskan mengenainya dengan lebih  lanjut.

Nazarudin: Objektifnya ialah untuk menggugurkan risalah itu dengan jayanya dan selamat. Saya tidak bertanyakan mengenai risalah itu.

Nazarudin seterusnya menjelaskan bahawa beliau telah diarahkan supaya tidak bertanya mengenai risalah itu dan memberi tumpuan kepada tugas menerbangkan helikopter berkenaan ke kawasan yang diarahkan.

Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, seramai 22 orang termasuk dua rakyat Malaysia dituduh menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya adalah anggota kumpulan pengganas.

Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung akan disambung hari ini. — Bernama