Wong serah kepada Adenan untuk buat keputusan berhubung kedudukan SUPP

0

KUCHING: Ketua Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem untuk membuat keputusan berhubung kedudukan parti itu.

“Saya tidak akan mengulas atau memberi sebarang komen mengenai pertemuan itu dan hasil rundingan mereka.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri dan Jabatan Perdaftar Pertubuhan (ROS) untuk membuat keputusan berhubung nasib atau kedudukan SUPP,” tegasnya.

Wong berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pertemuan bebe-rapa pemimpin SUPP dike-tuai Presidennya Tan Sri Peter Chin dengan Adenan yang berlangsung kira-kira sejam di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Menteri kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat turut enggan mengulas dakwaan menyatakan bahawa beliau bersama kumpulannya meng-adakan pertemuan dengan Ketua Menteri kelmarin.

Sementara itu Chin ketika ditemui media selepas pertemuan tersebut memetik Adenan sebagai berkata ‘Kita mesti selamatkan SUPP’ yang menurutnya merangkumi aspek pembatalan pendaftaran oleh ROS dan memastikan kewujudan berterusan parti itu pada masa akan datang.

“Dalam pertemuan hari ini dengan Ketua Menteri dua perkara dibincangkan iaitu isu-isu dalaman parti serta perkara berhubung tindakan dibatalkan pendaftaran dua cawangan parti, Piasau dan Bekenu oleh ROS.

“Saya rasa perkara yang sangat positif mengenai sikap Ketua Menteri terhadap SUPP dan saya memetik beliau sebagai berkata ‘Kita mesti selamatkan SUPP’.

“Ketua Menteri telah me-ngatakan hasratnya mahu menyelamatkan SUPP dan selaku presiden inilah berita paling gembira,” ujarnya.

SUPP dilanda krisis dalaman selepas Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) pada Disember 2011 menyebabkan wujudnya dua kumpulan yang tidak sehaluan serta dua cawangan parti iaitu Piasau  dan Bekenu berkemungkinan dibatalkan pendaftarannya.

Wong mengetuai kumpulan yang disertai lima lagi ahli parti itu yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh) Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Ranum Mina (Opar) dan Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang).

Manakala kumpulan satu lagi dipimpin Chin yang terdiri daripada Datuk Richard Riot Jaem dan ahli-ahli parti yang setia kepadanya.