Dompok dicadang Presiden Kehormat?

0

MADIUS menjawab soalan wartawan selepas Dompok mengumumkan melepaskan jawatan Presiden Upko kelmarin.

Madius sedia galas tanggungjawab, hadapi perubahan dalam parti

PENAMPANG: Timbalan Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau bersedia menghadapi sebarang perubahan yang akan berlaku dalam parti berkenaan seperti memangku jawatan presiden bermula 21 Mac ini.

“Akan tetapi, saya tidak lihat banyak yang akan berubah dalam Majlis Tertinggi parti kerana ia tertakluk kepada perlembagaan parti,” katanya.

Madius, 56, berkata demikian ketika ditemui selepas Tan Sri Bernard Dompok mengumumkan meletak jawatan sebagai presiden Upko yang berkuatkuasa 21 Mac ini.

“Seperti yang dinyatakan oleh Dompok tadi, selama ini semuanya berasaskan prinsip. Maka apabila kita berhadapan dengan isu-isu semasa sudah tentu kita akan menyelesaikan isu-isu itu berdasarkan prinsip yang sama,” katanya apabila ditanya bagaimana beliau akan menyelesaikan isu semasa apabila menerajui parti itu kelak.

Dalam pada itu, Madius berkata, beliau akan mencadangkan supaya Dompok dilantik sebagai Presiden Kehormat parti itu sebagai menghargai jasa dan sumbangannya.

Katanya, sebelum ini telah ada cadangan supaya Upko menggunakan Artikel 63 (i) dan (ii) perlembagaan parti itu dan beliau akan mencadangkannya dalam mesyuarat majlis tertinggi Upko akan datang.

Katanya, Dompok hanya meletakkan jawatan sebagai presiden, namun kepimpinan itu bukan terletak pada jawatan. Sebaliknya, kepimpinan adalah pengaruh dan sumbangan yang dilakukan dalam parti ini. Dompok juga akan terus menyokong dan bersama-sama dalam parti pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Madius mengucapkan penghargaan kepada Dompok kerana kepimpinan dan perjuangannya terhadap rakyat yang membawa banyak perubahan di negeri ini, khususnya di daerah ini.

“Beliau (Dompok) akan sentiasa bekerjasama dan memimpin kita serta mendapatkan nasihat kepimpinan meskipun beliau meletakkan jawatannya menjelang penghujung bulan ini,” katanya.

Menurutnya, dengan sokongan dan kerjasama yang ada, parti itu akan bekerja keras dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ahli dalam parti yang akan dipimpinnya pada masa akan datang.

Mengenai kes Ketua Bahagian Upko Ranau Datuk Ewon Ebin, Madius menjelaskan bahawa kedudukannya masih lagi sebagai Ketua Bahagian Upko dan kedudukannya dalam parti di peringkat pusat akan ditentukan pada masa akan datang.

“Saya dengan Ewon adalah rakan seperjuangan dan kami menawarkan diri bertanding merebut jawatan timbalan presiden, namun keputusan berpihak kepada saya melalui sistem undian daripada ahli,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelantikan naib presiden yang baharu akan dilihat melalui kepimpinan dan sokongan perwakilan semasa pemilihan yang akan diadakan kelak.

Madius akan memangku Presiden Upko sehingga pemilihan parti diadakan. Pemilihan parti akan dijalankan sekali dalam tempoh tiga tahun. Pemilihan parti yang terakhir adalah pada Oktober 2013.