Madius terajui Upko

0

Berikutan peletakan jawatan Dompok sebagai Presiden, berkuatkuasa 21 Mac depan

PENAMPANG: Selepas 20 tahun menerajui Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok kelmarin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden parti itu, berkuatkuasa mulai 21 Mac ini.

Serentak itu, Timbalan Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau akan memangku jawatan presiden parti sehingga pemilihan parti diadakan.

Pemilihan parti diadakan tiga tahun sekali dan kali terakhir pemilihan diadakan pada Oktober tahun lalu.Dompok dijadual mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Upko buat kali terakhir pada 19 Mac ini.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya dalam sidang media di Puru Lodge, di sini, Dompok, 64, berkata sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri dan menyerahkan pucuk pimpinan parti kepada kepimpinan baharu yang boleh menyuntik idea-idea baharu untuk meneruskan perjuangan parti bagi menghadapi landskap politik negara yang sudah berubah.

Katanya, beliau memaklumkan mengenai hasrat meletak jawatan sebagai Presiden Upko kepada pengurusan jawatankuasa parti pada 21 Februari lalu.

“Saya sudah bermuhasabah diri sebelum mengambil keputusan ini. Ia bukan satu keputusan mudah untuk saya kerana ahli parti meminta saya terus berada dalam parti. Namun, saya yakin bahawa masanya sudah tiba untuk saya menyerahkan pucuk pimpinan ini kepada orang baharu,” katanya.

Selain Madius, sidang akhbar itu turut dihadiri barisan kepemimpinan Upko termasuk Naib Presiden, Datuk Marcus Mojigoh dan Datuk Siringan Gubat serta Setiausaha Agung, Datuk Donald Mojuntin.

Dompok yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau berfikir panjang mengenainya dan berpendapat keputusan itu adalah yang terbaik untuk parti, justeru beliau tidak menyesal dengan keputusan itu.

Menurutnya, jika beliau masih terus berada dalam Kabinet, beliau akan menjadi antara yang tertua dalam Kabinet, begitu juga dalam Upko.

Katanya, sebelum ini beliau telah banyak kali menyuarakan pandangan kepada anggota parti bahawa seseorang presiden parti tidak boleh terlalu lama memegang jawatan itu dan melebihi masa sepatutnya kerana ia boleh merenjatkan perkembangan parti.

Beliau berpendapat perubahan pucuk pimpinan parti akan memberi ruang kepada perubahan melalui idea-idea baharu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua anggota dan kepimpinan Upko memberi sokongan penuh kepada Madius sepertimana sokongan yang telah mereka berikan kepadanya sebelum ini.

Beliau yakin Tangau sudah bersedia menerajui Upko kerana beliau memiliki semua ramuan yang diperlukan Upko untuk  meneruskan kerja dan perjuangan parti yang telah dilaksanakan semua anggota dan kepimpinan parti secara bersama-sama sejak 20 tahun lalu.

Upko yang dahulu dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS) diasaskan Dompok dan beberapa pemimpin lain selepas meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pasca pilihan raya negeri pada 1994.

Dompok mula aktif dalam politik dalam era pemerintahan PBS pada tahun 1985 dan dilantik sebagai Menteri Kewangan Sabah pada tahun 1986.

Pada 1998, Dompok dilantik Ketua Menteri Sabah di bawah kerajaan diterajui BN di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri ketika itu.

Mengenai sumbangannya sepanjang memimpin Upko, Dompok mengakui parti berkenaan telah menyumbang kepada pelbagai idea bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan Sabah termasuk isu pendatang asing tanpa izin sehingga membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin.

Katanya ekoran penubuhan suruhanjaya berkenaan, siasatan telahpun dijalankan dan kini hanya menunggu laporan hasil siasatan berkenaan.

Selain itu, katanya, Upko juga memainkan peranan dalam isu pengunaan perkataan ‘Allah’ di kalangan penganut Kristian melalui 10 perkara yang dipersetujui kabinet bagi membolehkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan perkataan berkenaan dalam upacara keagamaan mereka.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua anggota dan kepimpinan Upko yang memberinya sokongan selama ini sehingga mampu melaksanakan tugas sebagai presiden parti.

Beliau turut berterima kasih kepada rakyat, sama ada di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang pernah diwakilinya atas sokongan mereka selama ini.

Dompok berkata, selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden Upko, beliau akan terus untuk membantu parti berkenaan jika diperlukan.

Katanya, beliau juga akan menyumbang khidmat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Monfort Youth Training Centre (MYTC) dan Borneon Reservation Trust.