Seorang maut kereta langgar tiang telefon dan pili bomba

0

TAWAU: Seorang penumpang maut apabila kereta yang dinaiki tiga lelaki terbabas sebelum melanggar tiang telefon dan pili bomba di Batu 2.5 Jalan Apas awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata, mangsa dikenali sebagai Razhpy Abdul Hamid, 26, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tawau.

“Mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian dada,” katanya sambil mengesahkan kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi.

Beliau berkata, mangsa dan dua rakannya dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Batu 4 Jalan Apas dengan menaiki kereta jenis Proton Waja yang dipandu salah seorang rakannya.

Bagaimanapun katanya, kenderaan itu gagal dikawal oleh rakan mangsa yang disyaki memandu laju sehingga terbabas ke laluan bertentangan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia, sementara pemandu dan seorang lagi penumpang sekadar mengalami kecederaan ringan di bahagian dada,” katanya.

Awang berkata, hasil siasatan awal menunjukkan kemalangan terbabit berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu kerana dipercayai memandu dengan laju.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Lahammad Saleng.

“Kita harap pemandu-pemandu kenderaan mengelak memandu terlalu laju kerana perbuatan itu bukan hanya melanggar peraturan malah mengancam nyawa diri sendiri dan orang lain.

“Amalkan budaya pemanduan berhemah demi kebaikan semua pihak,” katanya selain mengesahkan pemandu kenderaan terbabit kini sedang disiasat oleh polis.