Rosmah beri sokongan moral kepada keluarga penumpang

0

PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semalam meluangkan masa hampir dua jam berjumpa bagi memberikan sokongan moral kepada anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, yang ditempatkan di The Hotel Everly Hotel di sini.

Beliau tiba di sini kira-kira jam 12.45 tengah hari. Turut hadir mengiringi beliau Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga naib Ketua Wanita UMNO dan Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari.

Rosmah dilihat beberapa kali mengalirkan air mata semasa menemui anggota keluarga yang berkumpul di hotel itu.

Ketika ditanya Bernama tentang pertemuan isteri perdana menteri bersama lebih 100 anggota keluarga tersebut, Rosni berkata kebanyakan mereka melahirkan rasa sedih kerana belum ada perkembangan berhubung kedudukan pesawat itu, walaupun pelbagai usaha telah dan sedang digerakkan bagi mencari dan menyelamat.

Rosni berkata bagaimanapun Rosmah memberi jaminan bahawa pihak berkuasa negara ini menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya bagi mendapatkan maklumat dengan secepat mungkin.

Di samping itu, kata Rosni lagi, Rosmah juga berkata negara jiran juga memberi bantuan dalam pelbagai aspek berhubung perkara itu.

Selain itu Rosni berkata Wanita UMNO juga mendapat arahan daripada ketua mereka, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya 191 bahagian sayap parti itu mengadakan solat hajat bagi mendoakan proses penemuan pesawat itu berjalan lancar.

Katanya solat hajat itu akan bermula malam ini di semua sayap bahagian Wanita UMNO. — Bernama