SMK Bintulu ungguli MSS Bahagian Bintulu

0

 

BINTULU: Sekolah Menen­gah Kebangsaan (SMK) Bin­tulu muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Pa­dang Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Bahagian Bintulu setelah mengutip 47 emas, 27 perak dan 32 gangsa sekali gus mengumpul 571 mata mengatasi 10 kontinjen lain di Stadium Mini Bintulu kelmarin.

Naib juara ialah kontinjen SMK Bakun mengutip 22 emas, 22 perak dan 23 gangsa dengan mengumpul 359 mata keseluruhan.

Manakala tempat ketiga disandang oleh kontinjen SMK Bandar yang mengu­tip 20 emas, 22 perak dan 13 gangsa dengan mengumpul 292 mata.

Tempat keempat hingga ke-10 dimenangi SMK Tatau, SMK Kidurong, SMK Se­bauh, SMK Asyakirin, SMK Baru, SMK Kemena, SM Kai Dee dan Kolej Vokasional.

Sementara itu, Jonathan Tinggang Ngabang dari SMK Tatau dinobatkan sebagai Olahragawan MSS Bintulu setelah beliau mengutip tiga emas buat kontinjennya sekali gus memecahkan masing-masingnya satu rekod MSS Sarawak dan MSS Bintulu untuk tiga acara yang diser­tainya.

Jonathan memecah rekod untuk acara lompat tinggi dengan jarak 2.07 meter men­gatasi rekod MSS Sarawak iaitu 2.02 meter, diikuti acara lompat jauh dengan catatan 6.18 meter dan lompat kijang dengan jarak 13.61 meter mengatasi rekod MSS Bintulu 13.58 meter untuk kategori lelaki 18 tahun ke bawah.

Olahragawati MSS Bintulu disandang Marjorie Umban dari SMK Bandar mengutip dua emas dan satu gangsa untuk kontinjennya.

Kategori wanita 18 tahun ke bawah acara larian 800 meter Marjorie mencatatkan masa larian 2.42:50s menga­tasi rekod MSS Bintulu iaitu 2.45:80s.

Acara 400 meter pula beliau mencatat masa 1.09.31s di­ikuti acara 1,500 meter catatan masa beliau ialah 6.13:60s.

Atlet-atlet terbaik setiap kategori turut menerima hadiah masing-masing untuk kategori umur 13, 14 dan 15 tahun ke bawah.

Hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Abdul Muin Abdul Kassim.

SMK Kidurong merupakan pengelola kejohanan itu dan tahun hadapan pengelolaan akan diserahkan kepada SMK Asyakirin.