Anak jati, beragama Kristian

0

AKAN DIMAKLUMKAN: Adenan (duduk tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKT PBB semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Calon BN bagi PRK Balingian akan diumumkan Muhyiddin pada Sabtu: Adenan

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata calon yang bakal mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian merupakan rakyat tempatan, berbangsa Melanau, bukan Islam dan amat dikenali masyarakat tempatan.

Menurutnya, pemilihan calon bagi PRK DUN Balingian adalah berdasarkan ‘Perjanjian Jangka Panjang’ yang dipersetujui sejak 1963 yang menetapkan salah seorang daripada tiga wakil rakyat di kawasan Parlimen Mukah adalah beragama Kristian dari masyarakat di situ.

Di bawah perjanjian bersama dalam kalangan suku kaum Melanau, salah satu daripada dua kerusi DUN iaitu Dalat dan Balingian atau Parlimen Mukah perlu diwakili Melanau Kristian.

Adenan bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon yang dimaksudkan kerana perkara itu, katanya, akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Pengerusi BN pusat pada satu majlis pemimpin bersama rakyat di Mukah pada Sabtu, 15 Mac ini.

“Kita (PBB) telah pun menentukan calon (yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Balingian) tetapi saya tidak boleh mendedahkan namanya sehingga 15 Mac 2014 apabila Timbalan Perdana Menteri datang.

“Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan ialah calon kita berbangsa Melanau, beragama Kristian, kelahiran tempatan dan cukup dikenali penduduk di situ. Itu sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB yang berlangsung hampir dua jam.

Adenan yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ketua Menteri tetap enggan mendedahkan nama calon dimaksudkan, meskipun didesak beberapa kali oleh para pemberita.

“Kita memberi keistimewaan kepada Timbalan Perdana Menteri mengumumkannya nanti pada 15 Mac nanti. Ini bukan permainan teka-teki,” tegasnya.

Timbul spekulasi mengaitkan beberapa nama sebagai calon BN bagi PRK Balingian selepas Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan hasratnya mahu bersara sebagai Ketua Menteri termasuk anak beliau sendiri iaitu Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, Datuk Seri Effendi Norwawi dan Datuk Dr Juanda Jaya.

Ketika ditanya media sebelum ini, Abu Bekir memberitahu beliau tidak berminat untuk meneruskan kepimpinan bapanya, begitu juga dengan Effendi sebaliknya Juanda memaklumkan beliau berminat menggalas misi BN mempertahankan kerusi itu sekiranya diberi kepercayaan.

Namun, gambaran mengenai calon yang diberikan Adenan semalam menyebabkan timbul spekulasi baharu mengaitkan tiga lagi nama iaitu Akit Sebli yang merupakan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak; Adrian Dohat, seorang jurutera dan Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo.

Ketiga-tiga mereka berbangsa Melanau, beragama Kristian serta berasal dari Mukah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Balingian diadakan pada 29 Mac, manakala hari penamaan calon pada 17 Mac.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika mengumumkan perkara itu Khamis minggu lepas berkata, seramai 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Taib kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan ketua menteri dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, pada 28 Februari lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.