BN mahu majoriti besar di Balingian

0

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak memandang ringan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian sebaliknya akan terus bekerja keras bagi memastikan BN menang dengan majoriti besar.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Stephen Rundi Utom yakin, DUN Balingian dapat dipertahan berdasarkan rekod kejayaan BN mempertahankan kerusi itu serta maklum balas dan sokongan daripada akar umbi.

Bagaimanapun, ujarnya, BN tidak boleh cepat berasa berpuas hati kerana ia boleh menjejaskan prestasi BN nanti.

“Maklum balas yang kita peroleh daripada akar umbi mendapati semua pengundi di Balingian tidak sabar menunaikan tanggungjawab mereka dan memastikan BN menang. Pengundi mahukan kemenangan yang besar.

“Bagaimanapun, saya enggan mengatakan yang kita (BN) pasti menang walaupun kita cukup yakin. Kita tidak mahu memandang ringan PRK ini sebaliknya akan terus bekerja keras untuk kemenangan lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti di sini sebagai mengulas dak-waan beberapa pemimpin pembangkang bahawa BN akan kalah pada PRK DUN Balingian kelak.

Dr Rundi menambah, terpulang kepada pembangkang untuk menyuarakan pandangan mereka kerana untuk BN tewas di Balingian adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

“Seperti dimaklumkan Ketua Menteri (Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem) pada sidang media tadi, calon kita ada orang tempatan, berbangsa Melanau, Kristian, masih muda dan amat dikenali oleh penduduk tempatan. Kita yakin calon kita ini boleh menang untuk BN,” ujarnya.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 28 Februari lepas.

DUN Balingian mempunyai 13,366 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK itu, iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.