KOTA BAHARU: Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta di KM58 Jalan Kota Baharu-Gua Musang berhampiran Kampung Keroh, Kuala Krai, awal pagi semalaml.
Dalam kejadian pada jam 6.45 pagi itu, Mohd Razali Awang Besar, 63, dari FELDA Kemahang, Tanah Merah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Ab Rahim Che Ghani berkata mangsa dirempuh sebuah kereta Proton Wira ketika sedang menyeberangi jalan untuk menaiki sebuah bas, sebaik selesai menunaikan solat Subuh di sebuah masjid.
“Mangsa telah keluar dari masjid berkenaan untuk menaiki bas sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah Gua Musang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. — Bernama