Calon BN di Balingian dari kalangan ahli PBB: Talib

2

KUCHING: Calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian adalah daripada kalangan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden PBB Datuk Talib Zulpilip untuk menafikan spekulasi bahawa calon BN di situ bukan daripada kalangan ahli parti.

“Pada lazimnya, kita ambil (calon) daripada orang parti, orang yang disokong oleh parti dan ia telah dipertimbangkan. Jadi tidak timbul orang luar parti kerana kita mahu orang yang mempunyai hubungan dengan parti.

“Malah, calon itu juga harus mempunyai dedikasi dan komitmen serta penerimaan ahli-ahli parti dan pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Berbasikal Paradesa Borneo di Pangkalan Haji Omar, Tebingan Kuching di sini semalam.

Namun, Talib enggan mendedahkan nama calon terbabit dan memberitahu perkara itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Timbalan Pengerusi BN pusat Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

“Jadi nama calon akan diumumkan oleh TPM pada 15 Mac ini. Memang banyak spekulasi kita, tak boleh umumkan kerana kita serahkan kepada TPM,” tambahnya.

Pada masa sama, Menteri Muda Pelancongan itu berkata, beliau mempunyai harapan yang tinggi bahawa BN akan mempertahankan kerusi itu.

Bagaimanapun, menurutnya BN tidak akan memandang rendah kemampuan pihak pembangkang dan untuk itu beliau menegaskan jentera parti sentiasa bersiap siaga bagi memastikan tugu kuat BN itu mampu dipertahankan dengan majoriti besar.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi, harapan (menang) pun tinggi, jadi saya tidak teragak-agak untuk mengatakan ia (Balingian) akan terus menjadi tapak barisan,” katanya