Pelatih pusat pemulihan tradsional maut, disyaki dipukul

0

KOTA BAHARU: Seorang pelatih Pusat Pemulihan Tradisional Pondok Darul Hanan Kampung Lambor, Tumpat, yang ditemui mati kelmarin, disyaki dipukul dengan objek tumpul.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, Muhammad Aiman Syahmi Hamdan, 18, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya oleh pengurus pusat pemulihan berkenaan, Mohd Zain Abu Bakar, 74, selepas dimaklumkan pelatih lain.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintenden Zaharudin Rasip berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zaharudin berkata Muhammad Aiman Syahmi menjalani rawatan di pusat pemulihan berkenaan sejak 8 Dis tahun lepas.

“Pusat pemulihan itu dijadikan pusat rawatan memulihkan pelatih yang terlibat dengan dadah.

“Mangsa tinggal bersama 12 lagi pelatih di dalam sebuah bilik di pusat pemulihan itu,” katanya.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan parah pada tisu badan mangsa disebabkan hentaman berganda dipercayai akibat pukulan objektumpul.

Zaharudin berkata seorang Warden berusia 43 tahun dan 11 pelatih berusia lingkungan 16 hingga 26 tahun ditahan reman tujuh hari mulai hari ini untukmembantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen a302 Kanun Keseksaan. — Bernama