Balingian terus membangun

0

TAHNIAH: Muhyiddin menyerahkan surat lantikan kepada Yussibnosh sebagai calon BN bagi PRK DUN
Balingian pada majlis di Dewan Suarah Mesra Mukah, semalam. Turut kelihatan, Adenan (kiri). — Gambar Bernama

MUKAH: Setelah sekian lama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dimiliki Barisan Nasional (BN), terbukti rakyat tidak silap membuat pilihan kerana kawasan itu terus membangun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerusi Balingian pernah dipegang oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Taib, katanya, adalah tokoh agung yang menabur khidmat bakti cukup cemerlang dan meletakkan Sarawak sebagai antara negeri paling maju di Malaysia.

“Taib telah lama berkhidmat untuk parti dan negara iaitu 33 tahun dalam pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan, lebihlebih lagi menjadi wakil rakyat kawasan Mukah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

“Kita sedia maklum, kerusi ini telah pun dikosongkan beliau dan apabila kerusi ini dikosongkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan agar Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian diadakan untuk mengisi kekosongan ini.

“Perjuangan dan perkhidmatan beliau (Taib) dapat dilihat dengan mata dan kepala kita sendiri tentang pencapaian dan kejayaan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Sehingga saya dimaklumkan bahawa Mukah adalah pusat bagi perkembangan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Saya pernah datang ke Mukah pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, hari ini (semalam) sewaktu saya sampai, saya lihat banyak lagi projek pembangunan dan kemajuan (dijalankan).

“Semua ini sekali gus menunjukkan bahawa kawasan Balingian khususnya telah menikmati banyak kemudahan kepada rakyat,” katanya pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK DUN Balingian di Dewan Suarah Mesra di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, calon BN yang diletakkan di kerusi tersebut perlu seseorang yang mempunyai kelayakan dan berpengalaman luas.

“Oleh sebab itu, kita inginkan seseorang yang berpengetahuan, berpengalaman dan dianggap sesuai untuk memikul amanah besar ini.

“Ini tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

Perjuangan bersama- sama wakil rakyat di peringkat Parlimen akan terus menentukan kawasan ini dimaju dan dibangunkan dengan segala keperluan supaya penduduk di sini menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Ekonomi yang lebih baik, pendidikan yang lebih baik, kemudahan asas yang lebih baik, jalan raya yang lebih baik, tempat-tempat rumah ibadat yang lebih sesuai akan menentukan hidup yang lebih aman dan sejahtera,” jelasnya.

Beliau berkata, PRK mempunyai pengertian besar iaitu utuk mengisi jawatan sebagai wakil rakyat.

“Ini satu jawatan penting yang membolehkan wakil rakyat memberi perkhidmatan yang diperlukan bukan sahaja kepada pengundi- pengundi, tetapi kepada seluruh rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan dalam ucapannya yakin bahawa BN akan menang dengan sokongan padu daripada rakyat di kawasan Balingian.

“Saya yakin dan percaya bahawa kita dapat menang dengan sokongan yang baik daripada rakyat untuk memastikan pucuk pimpinan di Balingian dapat diteruskan,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menjadi calon BN pada PRK DUN Balingian hujung bulan ini.

BN dijangka menghadapi pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bermesyuarat sekali gus mengumumkan calonnya di Sibu, hari ini.

Hari penamaan calon bagi PRK DUN Balingian ialah 17 Mac, disusuli hari pengundian pada 29 Mac ini.