Yussibnosh syukur diberi kepercayaan sebagai calon BN

1

MUKAH: Teki-teki akhirnya terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Yussibnosh Balo dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, hujung bulan ini.

Yussibnosh, 48, dari Kampung Tellian, Mukah berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin tertinggi BN yang telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk bertanding pada PRK DUN Balingian nanti.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemimpin tertinggi BN yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN di DUN N.

51 Balingian pada PRK nanti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yussibnosh memberitahu, pemilihannya sebagai calon BN pada PRK tersebut direstui oleh ibu bapa dan isterinya.

Ditanya bila beliau mengetahui akan menjadi calon BN, Yussibnosh menjawab perkara tersebut sukar untuk dikemukakan.

“Sebenarnya, perkara itu susah untuk dikemukakan sebab terlalu ramai calon dan calon-calon yang adapun dari keluarga saya juga.

Seperti Adrian Dorhat yang juga disebut-sebut sebagai calon merupakan anak buah saya,” jelasnya.

Difahamkan, beliau yang menyertai PBB lebih 20 tahun lalu meninggalkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah Dalat pada Jumaat lepas.

Sementara itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud atas dorongan beliau selama ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Taib yang telah banyak memberi dorongan kepada saya dan beliau menjadi idola kepada kami yang muda-muda di sini,” katanya.