Bekas jurugambar The New Sarawak Tribune TH Lu meninggal dunia

0

KUCHING: Bekas jurugambar akhbar The New Sarawak Tribune, Lu Kheng Heng atau lebih dikenali sebagai TH Lu, 62, meninggal dunia semalam pada jam 3 pagi selepas bertarung nyawa akibat kanser prostat.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Liew Fang Lim dan dua anak masing-masing masih belajar di institusi pengajian tinggi.

Lu berkhidmat sebagai jurugambar di akhbar berkenaan sejak 1986 hingga 2013 selain memulakan karier sebagai jurugambar seawal 1973 dengan beberapa akhbar bahasa Cina tempatan.

Mendiang dikenali sebagai ‘Uncle Lu’ oleh beberapa rakan pemberita kerana sifatnya yang peramah, turut terpaksa bersara lebih awal dua tahun kerana penyakit itu.

Mendiang ditempatkan di Sarawak Hun Nam Siang Tng sejak semalam (Ahad) sehingga Selasa bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir.

Mendiang akan dibawa ke Tokong Buddha Siniawan untuk dibakar.