Penamaan PRK DUN Balingian di Dewan Suarah Mesra pagi ini

0

LAWAT: Aziz (tengah) bersama Pegawai Pengurus PRK DUN Balingian Shafrie Saili (kanan) melawat dan melihat persiapan di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah.

MUKAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan menyaksikan proses penamaan calon di Dewan Suarah Mesra di sini pagi ini.

Dua parti telah mengumumkan calon masing-masing.

Barisan Nasional (BN) menampilkan bekas Pegawai Daerah Dalat yang berasal dari Kampung Tellian, Yussibnosh Balo, 48.

Beliau, seorang Melanau beragama Kristian dikatakan calon paling sesuai ekoran latar belakang yang memenuhi kriteria pucuk pimpinan BN.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan menampilkan seorang ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang, anak kelahiran Kampung Lintang, Balingian.

Beliau pernah bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Negeri 2011 di kerusi DUN Jepak menentang Datuk Talib Zulpilip.

Bagaimanapun ada yang menjangkakan calon Bebas akan turut serta dalam pilihan raya ini.

Setakat semalam, lima borang pencalonan telah dibeli, kata sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Balingian kosong ekoran peletakan jawatan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Mac lepas.

Taib yang sebelum ini merupakan Ketua Menteri dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib menang dengan 5,154 undi menewaskan calon PKR Suriati Abdullah yang memperolehi 871 undi dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin (1,056 undi).

SPR menetapkan hari mengundi pada 29 Mac ini. Undi awal pada 25 Mac.

Sejumlah 13,366 orang layak mengundi pada pilihan raya ini.

Seramai 133 orang pula pengundi awal yang akan melaksanakan tanggungjawab pada 25 Mac ini.

DUN Balingian mempunyai 67.33 peratus pengundi Melayu/Melanau, 19.02 peratus Iban dan 13.65 peratus Cina.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati penyokong parti atau penyokong calon agar tidak pergi ke tempat pencalonan terlalu ramai.

Aziz memberitahu, penyokong yang datang terlalu ramai akan menyukarkan pihak polis mengawal keadaan dan mendatangkan kelam-kabut.

“Saya seperti biasa dalam PRK yang lain-lain juga dan Pilihan Raya Umum, ingin nasihatkan supaya pada masa penamaan calon penyokong-penyokong parti atau penyokong-penyokong calon jangan terlalu ramai kerana bila datang terlalu ramai itu akan menyukarkan pihak polis mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kita tidak mengehadkan tetapi yang boleh masuk berhampiran dengan dewan ini iaitu tidak kurang daripada 50 meter ialah 100 orang bagi satu calon dan 100 orang ini pun mesti mempunyai pas masuk supaya kita nak memastikan tidak berlaku keadaan yang kelam-kabut,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke pusat penamaan calon semalam.

Beliau turut menasihati penyokong yang datang dari luar Sarawak agar menghormati adat orang Sarawak.

“Jadi saya harap kepada penyokong-penyokong parti yang yang datang esok (hari ini) menghormati tatasusila orang Sarawak, saya dimaklumkan bahawa secara umumnya lemah lembut dan tidak tahu untuk membuat provokasi atau perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang menyinggung perasaan orang.

“Saya harap budaya ini perlu dihormat di sini kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijujung iaitu di Balingian Sarawak,” katanya.