Persiapkan jentera untuk menang majoriti besar

0

KETIBAAN: Shahrizat yang diiringi Fatimah disambut mesra penduduk sebaik tiba di Kampung Tellian Tengah petang semalam.

MUKAH: Bagi mencapai hasrat yang diinginkan untuk menang dengan majoriti yang besar kita perlu mempersiapkan jentera kita dengan baik, kata Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau memberitahu, beliau bersama rombongannya dari Semenanjung Malaysia datang untuk melancarkan jentera Wanita BN untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini.

“Saya dimaklumkan bahawa jentera Wanita BN sudah bersiap sedia dan menunggu masa untuk penamaan calon dan seterusnya mereka akan turun padang untuk membawa pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan membawa visi Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Insya-Allah daripada maklum balas yang saya dapat, pengundi yang ada di Balingian ini akan turun beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada calon BN yang merupakan anak tempatan mereka di sini juga.

“Kita menggunakan kaedah dari rumah ke rumah kerana ini menjadi kekuatan jentera BN, jadi mereka akan pergi rumah ke rumah dan jentera tempatan di sini akan menjelaskan kepada pengundi kerana mereka yang kenal semua pengundi dan penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Wanita BN sempena PRK DUN Balingian di Dewan Masyarakat Kampung Tellian Tengah petang semalam.

Sementara itu, Shahrizat berkata Datuk Fatimah Abdullah dan pemimpin tempatan akan menentukan jentera ini berjalan dengan lancar dan pengundi di sini sebahagian besarnya adalah wanita iaitu lebih daripada 50 peratus.

Beliau memberitahu, berdasarkan pemerhatiannya dari segi trend terutama pengundi wanita, mereka akan memilih parti yang dapat membawa masa depan yang cerah.

Pada majlis tersebut Fatimah memberitahu bahawa mereka akan bergerak dan bertugas melalui pucuk pimpinan daripada akar umbi iaitu daripada ranting dan mereka (Wanita) turut melibatkan sukarelawan.

“Kami bertugas mengikut ranting dan mengikut pusat mengundi dan selain jentera yang terdiri daripada parti, kita juga ada sukarelawan.