Rakyat Balingian buat pilihan tepat, terus maju di bawah BN: Muhyiddin

0

PEMIMPIN: Yussibnosh Balo (tengah) bersama Muhyiddin (empat kanan) dan pemimpin yang lain meraikan hari bersejarah.

MUKAH: Sejak sekian lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian milik Barisan Nasional (BN) dan terbukti rakyat tidak membuat pilihan yang silap kerana Balingian terus maju dan membangun di bawah pimpinan pucuk pimpinan BN, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kerusi Balingian adalah kerusi yang pernah dipegang oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya Taib adalah tokoh agung bukan sahaja di peringkat negeri Sarawak malah di peringkat nasional yang telah meningkatkan banyak dasar dan khidmat bakti yang cukup cemerlang dan meletakkan negeri Sarawak sebagai negeri yang paling maju di Malaysia.

Bagaimanapun katanya kita sedia maklum, kerusi ini telah dikosongkan oleh beliau dan apabila kerusi ini dikosongkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat keputusan untuk mengumumkan agar Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Balingian ini diadakan untuk mengisi kekosongan ini.

“Perjuangan dan perkhidmatan beliau (Taib) dapat dilihat dari segi pencapaian dan kejayaan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

“Sehingga saya dimaklumkan bahawa Mukah adalah pusat bagi perkembangan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di negeri Sarawak ini.

“Saya pernah datang ke Mukah pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu tetapi saya tidak ada melihat bangunan-bangunan yang tinggi tersergam dan hari ini waktu saya sampai, saya lihat banyak projek pembangunan dan kemajuan.

“Ini sekali gus menunjukkan  bahawa kawasan Balingian khususnya telah dapat menikmati banyak kemudahan untuk rakyat,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata lagi, calon yang diletakkan di sini adalah seorang yang mempunyai kelayakan dan berpengalaman luas.

Terdahulu, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yakin bahawa PBB-BN akan menang dengan sokongan padu daripada rakyat.

“Saya yakin dan percaya sepenuh-penuhnya kita akan menang dengan sokongan yang baik daripada rakyat,” katanya.