Yussibnosh mahu memberi fokus terhadap aspek pendidikan

0

MUKAH: Datang dari keluarga kurang berada pada zaman kecilnya menjadikan bakal calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil Balingian Yussibnosh Balo memahami pendidikan amat penting untuk meningkatkan taraf ekonomi sesebuah keluarga.

Bekas pegawai daerah Dalat itu berkata bukan sekadar mengukuhkan ekonomi keluarga, tetapi pendidikan seseorang dapat digunakan bagi membantu membangunkan negara.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mencari pendapatan dengan menebang dan menjual rumbia, Yussibnosh, 48, berkata beliau sewaktu zaman persekolahan sering dihimpit masalah kewangan.

Berjalan kaki ke sekolah seawal jam 5.30 pagi dari rumahnya di Kampung Tellian ke SMK Three Rivers menggunakan kasut getah berwarna putih menjadikannya lebih matang dalam hidup.

Malah sewaktu melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dan universiti, beliau dicengkam masalah kewangan. Itu tidak mematahkan semangatnya untuk belajar demi meningkatkan taraf ekonomi keluarganya.

Bapanya, Balo, 72, tidak mempunyai wang yang cukup untuk melanjutkan pengajiannya ke luar negara meskipun beliau seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1983 di SMK Three Rivers.

Akibat kekangan wang, beliau cuma melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di SMK Binatang, Bintangor dan memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1985.

“Jika saya menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Balingian, saya antara lain akan membantu daripada aspek pembangunan pendidikan di kalangan masyarakat di kawasan ini.

“Usaha yang baik oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini akan kita teruskan,” katanya yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik dari Kampung Tellian.

Pada sidang akhbar selepas diumumkan sebagai calon di sini malam kelmarin, beliau dilihat sebagai seorang yang merendah diri meskipun berjawatan sebagai pegawai daerah sebelum ini.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1991 mempunyai tujuh anak hasil perkongsian hidup dengan Elizabeth Nelson.

Mengulas lebih lanjut mengenai pendidikan, beliau berkata Mukah sebagai sebuah kawasan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memerlukan modal insan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja.

Menurutnya, hasil rancangan pembangunan rapi oleh pimpinan kerajaan, Mukah kini bertukar menjadi antara bandar yang membangun pesat.

“Semasa saya kecil pekan Mukah akan sunyi setelah jam 6 petang. Sekarang amat berbeza, banyak kereta dan yang penting sudah wujud industri di kawasan DUN Balingian,” katanya.

Hari ini merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian yang kosong selepas Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri mengosongkannya pada 28 Februari lepas.

Hari mengundi ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 29 Mac ini.

Sejumlah 13,366 layak mengundi pada pilihan raya ini. Seramai 133 orang pula pengundi awal akan melaksanakan tanggungjawab pada 25 Mac ini.

DUN Balingian mempunyai pengundi Melayu/Melanau sebanyak 67.33 peratus, 19.02 peratus Iban dan 13.65 peratus Cina.