Lee bangga JCI berjaya menggerakkan peranan golongan muda di negeri ini

0

MIRI: Menteri Muda Perhubungan merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin melahirkan rasa bangga beliau dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia seperti Junior Chamber International (JCI) yang telah berjaya menggerakkan peranan golongan muda di negeri ini.

Menurut Lee, JCI dengan matlamat penubuhannya untuk membentuk dan membimbing golongan belia dalam bidang kepimpinan, komunikasi dan pelbagai kemahiran sosial yang lain, ternyata berjaya melaksanakan objektif mereka.

Ini kerana menurut beliau, JCI melalui cawangannya di seluruh negeri termasuk cawangan persatuan itu yang terbaharu, JCI Riam, telah berjaya membawa golongan belia dan anak-anak muda di negeri ini untuk terlibat sama dalam pelbagai aktiviti.

“Walaupun masih baharu ditubuhkan dan hanya berusia empat tahun, namun saya gembira kerana dimaklumkan bahawa JCI Riam telah menganjurkan banyak program melibatkan golongan belia di Miri serta berjaya merekrut ramai anak muda menyertai JCI Riam.

“Malah daripada pemerhatian saya, ramai daripada mereka yang telah menjadi ahli JCI Riam, amat aktif dan menyumbang dengan penuh komitmen terhadap pembangunan belia dan aktiviti-aktiviti amal di bahagian ini,” ujarnya lagi.

Lee memberitahu demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Malam Anugerah dan Pelantikan Rasmi Lembaga Pengarah (jawatankuasa induk) ke-4, JCI Riam di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin. Teks ucapan Lee dibacakan oleh Kaunselor Ernest Goh yang mewakili beliau.

“Seperti yang anda maklum, JCI merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa di mana ahli-ahlinya boleh belajar dan membentuk pemikiran yang positif dan bernilai.

“Kemahiran sosial yang dipelajari oleh golongan muda kita ini, merupakan aset yang amat berharga dan membantu mereka untuk berjaya dalam kehidupan.

“Sehubungan itu saya berharap agar JCI Riam meneruskan usaha mereka mengambil lebih ramai anak muda untuk menyertai mereka dan JCI,” tambah Lee lagi.

Menurutnya di Miri, JCI merupakan salah sebuah pertubuhan belia yang aktif, yang memainkan peranan penting dan positif ke arah pembangunan belia dan telah memberi peluang kepada golongan muda mencipta perubahan yang positif.

“Saya juga tidak menafikan bahawa ahli-ahli JCI telah bergiat secara aktif dalam mempromosikan pergerakan global yang bertujuan untuk membina persekitaran hidup yang lebih baik untuk semua.

“Para pemimpin dan ahli-ahli pertubuhan ini (JCI) telah menunjukkan semangat yang amat cemerlang dalam projek-projek kesukarelaan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti dan projek-projek kemasyarakatan dengan membabitkan golongan muda,” tambahnya.

Sementara itu, Lee turut mengucapkan tahniah kepada Presiden JCI Riam 2013 Samantha Yong dan ahli-ahli jawatankuasanya yang telah berjaya merangkul beberapa anugerah semasa Konvensyen Kebangsaan Tahunan JCI Malaysia.

Antara anugerah utama yang dimenangi oleh mereka ialah ‘Top 10 Organizing Local Organization Award’ kerana pengurusan ke atas pertubuhan tempatan yang cemerlang dalam negara dan juga memenangi anugerah bagi pertumbuhan keahlian yang tinggi dalam organisasi di Sarawak.

Sementara itu, majlis pelantikan pada malam kelmarin menyaksikan upacara angkat sumpah jawatankuasa baharu itu yang diterajui oleh George Ngien Kuok Ing, bagi penggal 2014.