Yussibnosh lawan Abdul Jalil

0

HARAPAN BN: Yussibnosh ketika diumumkan sebagai calon nombor satu di kertas undi oleh Shafrie. Turut kelihatan Abdul Jalil, Muhyiddin, Adenan, Azmin dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (kanan).

PRK Balingian 29 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu, BN dan PKR

MUKAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balingian pada 29 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Yussibnosh Balo dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang.

Yussibnosh, 48, anak jati Kampung Tellian yang diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyerahkan kertas penamaan calon pada jam 9.03 pagi.

Abdul Jalil, 55, dari Kampung Lintang, Balingian menyusul dan menyerahkan dokumen pada jam 9.14 pagi.

Beliau diiringi Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Pencalonan Yussibnosh, bekas pegawai daerah Dalat itu dicadang Ardiman Matan dan disokong Fauziah Adeni manakala Abdul Jalil, seorang ahli perniagaan dicadang Matek Geram dan disokong Basri Bahari.

Suasana di luar Dewan Suarah Mesra Mukah ketika Pegawai Pengurus PRK Balingian Shafrie Saili mengumumkan nama calon, tenang tanpa wujud kekecohan.

Kerusi DUN Balingian kosong selepas penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan pada 28 Februari lepas bagi membolehkannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri.

DUN Balingian mempunyai 13,366 pengundi yang majoritinya berketurunan Melanau.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib menang dengan 5,154 undi menewaskan calon PKR Suriati Abdullah yang memperolehi 871 undi dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin (1,056 undi).

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang media berkata BN telah memilih calon terbaik bagi meneruskan perjuangan Taib untuk membangunkan Mukah yang merupakan antara kawasan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Berdasarkan pengalaman sebagai pegawai kanan kerajaan, beliau yakin Yussibnosh akan mendekati rakyat dan sama-sama berbincang dengan mereka tentang program pembangunan.

Meskipun BN diramal dapat mempertahankan kerusi ini, beliau berkata pengundi perlu memberi kerjasama penuh dengan turun mengundi calon BN dan tidak mengetepikan peranan setiap undi.

“Jentera BN jangan terlalu yakin meskipun peluang untuk menang memang cerah,” katanya sambil menambah jentera BN mempunyai strategi untuk meningkatkan sokongan pengundi.

Mengenai manifesto, Muhyiddin berkata manifesto BN semasa Pilihan Raya Negeri 2011 dan Pilihan Raya Umum 2013 masih relevan.

Menurutnya, apa yang mustahak ialah komitmen untuk menunaikan janji.

“Komitmen calon itu penting kerana ini bukan Pilihan Raya Umum dan Sarawak adalah dipimpin oleh Barisan Nasional. Apa yang kita janjikan dahulu kita akan laksanakan,” katanya.

Pada masa sama, Adenan berkata jentera BN akan menjelaskan kepada para pengundi mengenai isu-isu yang dibangkitkan pembangkang.

“Kita yakin dengan rekod lampau kemenangan akan berpihak kepada BN,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Jalil berharap pengundi DUN Balingian memberikannya peluang untuk membuktikan keupayaan berjuang demi pembangunan rakyat.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berlangsung dalam suasana aman.

“Tidak ada insiden yang tidak diingini dilaporkan dan penyokong daripada kedua-dua parti menunjukkan sikap hormati menghormati,” katanya.