Griffiths sah sertai Sarawak

0

NAFAS BAHARU: Sudarsono dan Griffiths memperagakan jersi yang akan digunakan pemain itu semasa sidang media di Stadium Negeri semalam. Hadir sama Timbalan Presiden FAS Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki (kanan) dan Naib Presiden Haidel Heli (kiri) dan ketua jurulatih Robert Alberts.

Sudarsono menegaskan FAS tidak akan terburu-buru tambat pemain import baharu

KUCHING: Sarawak tidak akan terburu-buru mengambil pemain import baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka pada 23 Mac ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman memberitahu, persatuan akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh tersebut untuk mencari pemain yang benar-benar berkualiti.

“Jendela perpindahan pemain adalah peluang terbaik kita untuk memperkuatkan skuad bagi menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif.

“Justeru itu, kita tidak perlu terburu-buru dan akan memastikan hanya pemain terbaik diambil,” katanya semasa sidang media memperkenalkan pemain import baharu Sarawak, Ryan Alan Griffiths di Stadium Negeri semalam.

Menurutnya, saingan Liga Super yang semakin sengit mendesak FAS untuk memastikan hanya pemain berwibawa dan mampu membantu skuad dibawa masuk.

Jendela perpindahan pemain akan dibuka dari 23 Mac hingga 22 April depan dengan Sarawak dijangka akan mengambil seorang lagi pemain import baharu bagi menggantikan Milorad Janjus yang mengalami kecederaan.

Manakala penyerang dari Bosnia Muamer Salibasic dijangka akan dikekalkan oleh FAS.

Menurut Sudarsono, Muamer masih diperlukan oleh skuad namun ia bergantung kepada tahap kecergasannya.

“Apa gunanya mempunyai kemahiran yang tinggi jika tidak dapat diturunkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Griffiths mengikat kontrak jangka masa panjang dengan Sarawak hingga musim depan.

Beliau menggantikan penyerang dari Iran Alireza Abbasfard yang digugurkan oleh FAS dan akan menggunakan jersi nombor 29.

Ketika ditemuramah, ayah kepada dua orang anak itu sudah lama ingin menyertai Sarawak setelah mendengar nasihat dari pemain lagenda Sabah, Scott Ollerenshaw.

“Sarawak adalah pasukan yang baik dan dibimbing oleh salah seorang jurulatih terkemuka,” katanya.

“Ia satu penghargaan bagi saya kerana dapat bermain dengan Sarawak dan saya akan cuba sedaya upaya membantu skuad mencapai lebih banyak kejayaan.”

Sepanjang kariernya, bekas penyerang Adeliade United itu pernah menyarung jersi kebangsaan Australia (2006- 2008) selain menyertai beberapa kelab di Liga Australia, China dan Romania.

Griffiths, 33, pernah muncul penjaring terbanyak selama dua musim berturut-turut ketika menyertai Newcastle Jets selain penjaring terbanyak Kejohanan Piala Asia ketika menyarung jersi Beijing Guon dari 2009-2010.

Beliau hanya mula beraksi pada perlawanan menentang Selangor di Stadium Negeri pada 25 Mac ini.