Adenan jamin akan beri sokongan sepenuhnya kepada Yussibnosh

0

MUKAH: Pengerusi Barisan Nasional Negeri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem memberi jaminan bahawa beliau akan menjadi tulang belakang kepada calon Barisan Nasional (BN) Yussib-nosh Balo pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

“Saya akan menjadi tulang belakang beliau. Apabila dia meminta peruntukan, saya akan memberikan kerana kita daripada parti yang sama dan dia adalah soko-ngan saya.

“Dan jika calon pembangkang yang meminta peruntukan itu walaupun dia menang saya tidak akan bagi apa-apa dan ini bukan bercakap sombong tetapi realiti,” katanya yang juga merupakan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sementara itu, beliau berkata perbezaan antara Yussib-nosh dan calon PKR Abdul Jalil Bujang ialah Jalil yang tidak disokong oleh kerajaan tidak akan dapat membawa apa-apa projek kerana tidak ada sokongan daripada kerajaan.

“Perbezaan kedua antara mereka ialah, PKR sekadar ‘tin kosong’ yang dapat membuat bunyi kuat tetapi tidak ada apa-apa, “ katanya pada sesi bertemu rakyat di Dewan Komuniti Abdul Rahman Yakub di Kampung Tellian Laut, Mukah semalam.

Adenan yang mengambil alih jawatan Ketua Menteri menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari lalu turut menyampaikan hasrat Taib sebelum beliau bersara.

“Sebelum beliau bersara, beliau memberitahu saya untuk mengingatkan anda apa yang telah dilakukan untuk rakyat Balingian dan ingat yang dia telah menyumbang kepada rakyat di kawasan ini dan seluruh negeri ini.

“Jadi saya perlu memberitahu anda bahawa jika anda benar-benar menghargai, dia mahu anda semua mengundi calon BN-PBB.

“Tetapi jika anda meng-abaikan nasihat beliau, ia bermakna anda akan dikutuk (tulah) kerana dia telah melakukan begitu banyak untuk anda semua,” katanya.

Sebelum itu, Long Bedol, wakil PBB Cawangan Kecil Kampung Tellian Laut, Kampung Datuk dan Kampung Penakub Permai berkata terdapat 1,695 pengundi di ketiga-tiga kampung dan mereka memberi sokongan penuh kepada calon BN.

“Tiga buah kampung ini telah menjadi kubu BN di Balingian sejak tahun 60-an.

“Oleh itu, kami akan me-nyokong calon BN tanpa mengira latar belakang agama,” kata Long.