PKR persoal pembangunan BN di Balingian

0

Bangkit isu sekolah menengah di Balingian, bekalan air bersih di rumah panjang

MUKAH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dan parti itu mendakwa kawasan tersebut masih kehausan pembangunan.

Terdapat beberapa isu pembangunan yang dibangkit oleh PKR antaranya ialah sekolah menengah di Balingian dan bekalan air bersih di kawasan rumah panjang.

Ketua Penerangan PKR Negeri Vernon Kedit berkata sepanjang kawasan DUN Balingian dipimpin oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, pembangunan apa yang beliau sumbangkan khususnya di kawasan DUN Balingian.

“Apa yang dibuat selama dia menjadi wakil rakyat di kawasan Balingian? Sekolah menengah tidak ada, bekalan air bersih tidak ada di kawasan pedalaman dan sesetengah simpang di jalan tidak ada lampu.

“Sarawak ada dana sendiri dan untuk projek pembinaan sekolah adalah daripada kerajaan persekutuan tetapi kenapa sehingga sekarang masih belum ada perubahan yang ketara di kawasan Mukah,” katanya.

Sementara seorang jurucakap PKR berkata, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ek Hua, di Kampung Penakub di Mukah perlu dibaik pulih untuk keselesaan pelajar di situ.

“Sekolah tersebut perlu dibaiki kerana saya dan rakan saya telah melihat sendiri sekolah tersebut dan ternyata ia agak uzur.

“Sepatutnya, BN perlu memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan keselesaan pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) selain berhampiran kawasan tersebut juga terdapat sebuah rumah burung yang sudah tentunya akan menimbulkan bunyi bising,” katanya.

Justeru beliau berharap kerajaan dapat menyalurkan sejumlah dana untuk membaik pulih sekolah tersebut demi keselesaan pelajar.

Difahamkan, kempen parti PKR berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan daripada segelintir masyarakat di sini untuk membantu mereka (PKR) dalam proses berkempen ini.