70 peratus kawasan di DUN Balingian telah dilawati Abdul Jalil

0

MUKAH: Sebanyak 70 peratus kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian telah dilawati oleh calon PKR Abdul Jalil Bujang dan kini beliau dalam persedian meneruskan kempen bertemu pengundinya.

Menurut Jalil, kedudukan PKR untuk merampas kerusi Balingian kini semakin kukuh dengan adanya bantuan daripada jentera sukarela PKR dari setiap bahagian berlainan di Sarawak termasuk Semenanjung Malaysia.

“Sambutan daripada jentera parti amat menggalakkan,” katanya sambil menambah dalam tempoh yang singkat kehadiran PKR di situ, parti itu sudah memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Ali Biju yang telah melawat tujuh rumah panjang sekitar Metadeng-Simpang Mukah berkata, beliau telah berjumpa dan membincangkan isu yang dekat dengan hati penduduk rumah panjang di situ.

“Mukah telah menjadi simbol pembangunan tetapi masyarakat Iban di sini tetap ketinggalan dalam pembangunan ekonominya.

“Walaupun terdapat ladang kelapa sawit di sini dan sebuah kilang, namun masyarakat Iban tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya.

“Jika adapun antara mereka yang bekerja di ladang kelapa sawit tersebut tetapi gaji mereka sungguh rendah.

“Majoriti masyarakat Iban di rumah panjang ini berpendapatan kurang daripada RM900 iaitu di bawah garis kemiskinan,” kata Ali.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan program pembangunan yang sering dibanggakan oleh Barisan Nasional (BN) kerana masyarakat Iban di situ tetap ketinggalan dari segi pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.

Dengan enam hari lagi untuk berkempen, Ali percaya bahawa PKR mampu menembusi semua kawasan dan jika kempen parti diteruskan mereka juga mungkin mencipta sejarah di situ.

Beliau berkata masyarakat Iban terdiri daripada 20 peratus daripada jumlah pengundi di DUN Balingian dan majoriti daripada mereka berada di kawasan Selangau-Jalan Balingau dan Kuala Balingian.

Bagaimanapun, sebagai sebuah parti berbilang kaum, beliau berkata PKR tidak mengabaikan mana-mana kumpulan tetapi telah membentuk empat pasukan untuk menjaga kawasan masing-masing seperti Cina, Iban, Melanau Kristian dan Melanau Islam.

Tambah Ali, antara isu yang beliau temui di kawasan itu ialah masyarakat Bumiputera telah diberi geran tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah dan bukannya Seksyen 18.

Ini bermaksud, tanah dimiliki oleh penduduk di situ adalah tanah Rizab Komunal dan bukannya tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Masyarakat Iban di sini tidak memahami perbezaan kedua-dua tanah terbabit sehingga kami menjelaskan kepada mereka.

“Mereka juga tidak bersetuju dengan survei perimeter yang dilakukan, di mana hanya plot kecil tanah ditinggalkan kepada mereka dan ia pastinya tidak cukup untuk keluarga dan generasi akan datang yang bergantung kepadanya,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita PKR Voon Siak Ni menggesa BN menggunakan taktik menghantar penunggang motosikal yang membunyikan bunyi kuat untuk menakut-nakutkan PKR dan penyokongnya semasa mengadakan perhimpunan.

Menyifatkan taktik seperti itu ‘tidak profesional’, Voon berharap BN akan berkempen secara adil dan sekiranya berulang jelasnya, PKR akan membuat laporan polis.

Nicholas Bawin yang turut hadir di situ berkata, kerajaan BN tidak pernah menghormati budaya masyarakat Iban tempatan apabila mereka meranapkan lebih 300 kawasan perkuburan bagi memberi laluan kepada syarikat kelapa sawit.

Bukan itu sahaja, selepas kejadian itu masyarakat Iban tempatan dibiarkan dengan plot kecil tanah untuk pertanian mengakibatkan orang luar menjadi kaya sementara penduduk tempatan menderita dalam kemiskinan.