Pembangkang tidak mampu menggugat BN di Balingian

0

MUKAH: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin bahawa pihak pembangkang tidak akan mampu menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Katanya keyakinannya itu adalah bersandarkan kepada persediaan yang dilakukan oleh jentera BN di peringkat akar umbi cukup baik.

“Saya yakin dengan persediaan yang kita telah lakukan, kita akan dapat mempertahan-kan kerusi DUN Balingian.

“Perkara ini terbukti selepas saya bersama penduduk kampung mengadakan perbincangan ringkas di bilik gerakan BN-PBB Kampung Judan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berambeh Bersama Rakyat di Kampung Judan, Mukah malam kelmarin.

Difahamkan, di Kampung Judan terdapat 390 pengundi yang layak mengundi pada 29 Mac ini.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hendak membantu rakyat.

“Pembangkang yang menentang BN di kawasan kita sekarang ini bukannya hendak membantu rakyat kerana masalah dalaman parti mereka sendiri tidak dapat diselesaikan apatah lagi nak selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Justeru beliau berharap rakyat akan memberi sokongan padu kepada BN untuk terus memimpin serta meneruskan agenda pembangunan di kawasan Mukah.

Turut hadir, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Muhammad Leo Toyad.