Ganjaran lumayan menanti

0

TANDA SOKONGAN: Affandi menandatangani kain rentang SUKMA XVII sambil diperhatikan Lucas di Sematan semalam.

SEMATAN: Biarpun Sukan Malaysia (SUKMA XVII) di Perlis hanya bermula pada 24 Mei depan, insentif dalam bentuk wang tunai telah diumumkan kepada atlet-atlet Sarawak yang bakal meraih pingat emas pada temasya itu nanti.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial, Affandi Keli berkata setiap atlet berjaya meraih pingat emas pertama akan mendapat ganjaran sejumlah RM5,000 manakala RM7,000 untuk pingat emas kedua dan seterusnya.

Atlet-atlet yang meraih pingat perak pula akan menerima wang tunai sejumlah RM750, pingat gangsa bakal meraih RM500.

“Ganjaran akan diberikan kepada setiap atlet yang berjaya meraih pingat emas.

Malah, kita juga memberi ganjaran RM1,000 kepada atlet-atlet yang berjaya memecah rekod kejohanan,” katanya ketika merasmikan Kem Motivasi Atlet SUKMA XVII Sarawak di Kem Belia Pueh, di sini semalam.

Affandi yang juga Timbalan Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak menjelaskan, pemberian ganjaran itu adalah bagi membakar semangat para atlet untuk meraih seberapa banyak pingat terutamanya pingat emas.

Dalam perkembangan sama, atlet-atlet yang didapati mengambil dadah atau alkohol akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dihantar balik dengan segera.

“Kita mahu atlet-atlet kita berdisiplin dan tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah atau alkohol,” ujarnya.

Tambahnya, atlet juga dinasihatkan agar tidak mengambil ubat sembarangan sebaliknya perlu mendapatkan rujukan daripada pakar (doktor) terlebih dahulu.

“Ini kerana, apabila ada atlet-atlet mengambil ubat terlarang pingat yang dimenangi mungkin akan ditarik balik,” jelasnya.

Menurutnya, setiap atlet yang dipilih mewakili kontinjen Sarawak pada SUKMA XVII kali ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Kita hanya mahukan atlet- atlet yang benar-benar berkualiti mewakili Sarawak dan bukannya untuk pergi makan angin sahaja,” katanya sambil menyifatkan atlet-atlet yang gagal menunjukkan prestasi terbaik mungkin akan berdepan tindakan digugurkan.

Hadir sama Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Lucas Kalang Laeng.