Proses pengundian awal PRK Balingian berjalan lancar

0

TUNAI TANGGUNGJAWAB: Tiga anggota polis menunjukkan jari mereka yang sudah dicalit dengan dakwat kekal selepas membuang undi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah, semalam.

MUKAH: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian melibatkan 133 anggota keselamatan berjalan lancar di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dari jam 8 pagi sehingga 5 petang semalam.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh memberitahu beliau sangat berpuas hati dengan kelancaran proses tersebut.

“Selepas lawatan dibuat, kita dapati proses pengundian awal tidak mempunyai sebarang masalah dan berjalan begitu lancar serta saya sangat berpuas hati dengan kelancaran ini.

“Cuma hari ini (semalam), ada keselamatan kita mengambil bahagian dalam perbarisan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 di IPD Mukah, pagi ini (semalam),” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat pengundian awal di sini, pagi semalam.

Mengulas ringkas mengenai kempen yang diadakan sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Balingian, Ghani memberitahu tiada sebarang provokasi yang dibuat oleh pihak-pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, Ghani menasihati pihak yang terlibat dalam proses berkempen agar terus mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan SPR.