Balingian kekal milik BN

0

RAI KEJAYAAN: Muhyiddin bersama Adenan dan para pemimpin negeri mengangkat tangan Yussibnosh sebagai tanda meraikan kejayaan besar BN, malam tadi.

Yussibnosh menang Majoriti besar 6,911 Peratus mengundi 72%

MUKAH: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian seperti yang dijangka sebelum ini menerusi kemenangan calonnya, Yussibnosh Balo pada Pilihan Raya Kecil (PRK), semalam.

Malah, kemenangan itu lebih manis apabila BN berjaya meningkatkan jumlah majoriti undi kepada 6,911 berbanding 5,154 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.

Yussibnosh, 48, memperolehi 8,194 undi, manakala lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang, 55, memperolehi 1,283 undi.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Balingian Shafrie Saili pada kira-kira jam 7.50 malam di pusat penjumlahan undi rasmi Dewan Suarah Mukah.

Undi rosak 146.

Seramai 9,668 daripada 13,366 orang pengundi atau 72 peratus menunaikan tanggungjawab masingmasing di 21 pusat mengundi semalam.

Seramai 132 daripada 133 orang mengundi awal pada 25 Mac lepas.

Pada 2011, bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 6,210 undi untuk memenangi kerusi DUN Balingian dengan majoriti 5,154 undi, dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan Suriati Abdullah daripada PKR yang memperoleh 871 undi, dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin 1,056 undi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan besar BN itu merupakan satu pengiktirafan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Menerusi kemenangan itu, katanya, majoriti rakyat di kawasan Balingian mahu BN terus mewakili mereka dan melaksanakan pembangunan yang telah dirancangkan kerajaan selama ini.

“Dengan kejayaan ini, kita tidak akan mengecewakan harapan mereka (rakyat) di kawasan Balingian ini.

“Ini merupakan petanda cukup positif tentang pengharapan rakyat di Balingian dan tanda sokongan rakyat Sarawak kepada BN,” katanya pada sidang media di dewan tersebut, malam tadi.

Beliau yang tiba dari Kuala Lumpur petang semalam berkata, kerajaan akan menunaikan janji yang telah diperkatakan pada tempoh kempen.

Menurutnya, Ketua Menteri akan memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya agar rakyat memperolehi manfaat pembangunan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kejayaan BN pada PRK ini merupakan hasil kerjasama padu jentera pilihan raya parti.

Sementara itu, Adenan menyifatkan kekalahan besar PKR membuktikan ia parti yang tidak diterima oleh rakyat Sarawak, malah tidak relevan dalam politik Sarawak.

“Kekalahan besar mereka pada kali ini membuktikan PKR tidak mampu mengorak langkah jauh dalam arena politik negeri ini.

“Rakyat di negeri ini masih lagi yakin dengan pemerintahan kita iaitu kerajaan BN.

Saya tegaskan bahawa pemimpin PKR di negeri ini harus memikirkan nasibnya dalam politik di Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Adenan, pada PRN yang lalu, PKR di Balingian juga mengalami nasib yang sama di mana mereka turut tewas dari segi kiraan undi kepada calon Bebas.

“Saya berpendapat langkah PKR agak terbatas di negeri ini pada pilihan raya-pilihan raya yang akan datang.  Rakyat seolah-olah sukar menerima mereka di sini.  Ia dapat kita lihat dari banyak sudut,” tegasnya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa gembiranya terhadap pengundi Cina di DUN Balingian yang dilihat semakin yakin dengan BN.

Katanya, keyakinan yang diberikan oleh golongan tersebut turut membolehkan BN menang dengan majoriti besar di semua pusat mengundi.

“Saya berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan lagi pada PRN yang akan datang sekali gus BN terus diberikan mandat untuk menerajui negeri ini pada masa akan datang,” katanya.