Hentikan persoal keputusan terima kembali bekas pemimpin: Mawan

0

SIBU: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom (gambar) menasihati ahli SPDP berhenti mempersoalkan keputusan parti yang menerima kembali kepulangan empat bekas pemimpin kanannya.

Katanya tindakan itu diputuskan demi menguatkan lagi barisan kepimpinan SPDP sebagai antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Kita menerima semula empat daripada lima ahli SPDP yang sebelum ini keluar daripada SPDP demi keutuhan parti serta nasihat daripada Ketua Menteri ( Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem).

“Harapan saya ialah semua pihak gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam di sini kelmarin.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial turut menjelaskan bahawa pemimpin tertinggi BN Sarawak dan Pusat juga telah dimaklumkan berhubung perkara itu.

Jelas beliau, setiap ahli perlu melihat hala tuju parti untuk jangka panjang dan bukannya tertumpu kepada personaliti seseorang.

Beliau sebagai presiden juga katanya, mempunyai tanggungjawab membuat keputusan untuk bergerak ke hadapan.

“Jadi biarkan saya laksanakan tanggungjawab saya sebagai presiden memimpin parti sebagaimana yang dipersetujui ahli serta Majlis Tertinggi parti.”

“Tidak payah kita hendak buat sebarang kenyataan hanya kerana tidak berpuas hati kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam usaha menangani semua ini, ahli parti harus melihat semula kepada diri sendiri dan BN memerlukan penyatuan lanjut dan solidariti.

Mawan turut memberitahu bahawa untuk menyelesaikan masalah, pemimpin perlu membuat keputusan melangkaui perasaan peribadi.

Ini kerana sekiranya ahli parti bergerak sama ke arah yang betul, SPDP pasti menjadi sebuah parti yang kuat pada masa depan.