Lelaki maut dalam kemalangan di Tambunan

0

MAYAT mangsa yang dihantar ke Hospital Tambunan untuk bedah siasat.

TAMBUNAN: Seorang lelaki tempatan maut apabila Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah Toyota RAV4 di Kilometer 10 berhampiran Kampung Tikolod, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Robert Salisip @David berkata, pemandu Viva dikenali Larai @Willie Panaya, 54, berasal dari Kampung Timbou di sini mati dalam kejadian jam 12.45 petang itu.

Sementara pemandu RAV4 berusia 62 tahun berasal dari Kampung Baginda Keningau bersama isterinya, berusia 48 tahun,  mendapat cendera ringan dan kini dirawat di Hospital Tambunan.

“Ketika kejadian, mangsa memandu kenderaan Perodua Viva seorang diri dari arah Keningau menuju Tambunan manakala kenderaan RAV4 dari arah bertentangan.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa masuk ke laluan sebelah kanan, lalu bertembung dengan kenderaan RAV4. Mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian dada dipercayai terhantuk pada stereng kenderaan,” katanya.

Robert berkata mangsa dipercayai terlelap semasa memandu dan tidak ada kesan brek di tempat kejadian.

Katanya, pemandu dan penumpang RAV4 terbabit mengalami kecederaan ringan dan tempat kejadian adalah jalan lurus, berturap tar, permukaan jalan kering dan cuaca baik masa kejadian.

Menurut beliau, pemeriksaan mayat di Hospital Tambunan mendapati mangsa meninggal dunia akibat cedera di bahagian dalaman (dada) dipercayai terhantuk pada stereng keretanya.

Robert memberitahu, kedua-dua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau untuk siasatan lanjut.

Sementara itu di tempat kejadian, enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tambunan membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut melawat tempat kejadian itu dan menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dengan mementingkan keselamatan diri selain pengguna lain.