Maut digilis kereta api

0

POLIS memeriksa kawasan landasan keretapi di mana mangsa dilanggar dalam kejadian itu.

POLIS memeriksa keadaan mayat mangsa di lokasi kejadian.

BEAUFORT: Seorang lelaki pekerja kontrak terbunuh selepas dilanggar kereta api di Kilometer 95.1 Jalan Beaufort-Kota Kinabalu, dekat sini Ahad lepas.

Mangsa yang berusia 41 tahun itu ditemui mati serta-merta di tempat kejadian kira-kira jam 2.50 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian pekerja terbabit sedang menggantikan kayu pada landasan kereta api dan tidak mendengar bunyi hon kereta api akibat hujan lebat dan bunyi kuat dari mesin yang digunakannya.

Pemangku Pengurus Besar Jabatan Keretapi Negeri Sabah Ismail Ahmad berkata, pemandu kereta api terbabit beberapa kali membunyikan hon untuk menyedarkan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, hon amaran berkenaan tidak didengari mangsa kerana hujan lebat dan bunyi mesin terbabit.

“Rakan mangsa sempat melompat keluar dari laluan landasan itu selepas menyedari kehadiran kereta api yang menuju ke Beaufort dari stesen Halogilat. Kereta api memerlukan sekurang-kurangnya jarak 100 meter untuk berhenti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintenden Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala menyebabkannya mati serta-merta di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk siasatan lanjut dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam kes berasingan, mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dengan dua kesan tetakan di leher ditemui di kawasan semak tepi jalan Kampung Lok Pond Kimanis, Papar kelmarin.

Mayat lelaki berusia 20an yang lengkap berpakaian dan belum diketahui identitinya itu dijumpai oleh seorang penjual ikan sewaktu melalui kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Suprintenden George Abd Rakman berkata, selepas terkejut menemui mayat terbabit, penjual itu kemudiannya menghubungi polis sebelum beberapa anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, mayat didapati dibunuh di tempat lain sebelum dibuang ke kawasan berkenaan berdasarkan penemuan dua kesan luka di leher selain lengan mangsa.

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat diketahui berikutan tiada sebarang penemuan dokumen pada mayatnya,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

George berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, pihaknya meminta mana-mana saksi kejadian atau orang awam yang kehilangan ahli keluarga supaya segera tampil membantu siasatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Khairudin Hussin di talian 088-912222.