Ambil iktibar penularan denggi, tibi

0

Untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini

TAWAU: Masyarakat digesa mengambil iktibar terhadap penularan kes Demam Denggi dan Penyakit Tibi di daerah ini untuk mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kalabakan Andi Muhd Suryady Bandy berkata, kenyataan Menteri Kesihatan berlaku peningkatan kes berkaitan di negeri ini sedikit menggusarkan.

“Kita perlu mengubah corak mentaliti dan budaya kita supaya lebih peka dengan perkembangan semasa berkaitan ancaman penularan penyakit-penyakit ini.

“Jangan nanti, ada ahli keluarga kita yang menjadi mangsa sebahagian daripada statistik pesakit Demam Denggi dan Penyakit Tibi baharu kita hendak tersedar,” katanya.

Suryady berkata, walaupun wujud kesedaran masyarakat terhadap kesan dan ancaman penyakit-penyakit itu, tetapi kesedaran dalam bentuk tindakan agak tidak ketara.

Beliau berkata, masyarakat perlu serius menangani isu terbabit dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk memerangi penularan penyakit-penyakit terbabit.

“Ini bukan hanya berkaitan kita sedar atau tidak bahaya Demam Denggi dan Penyakit Tibi, tetapi ini berkaitan tindak balas kita untuk mengelak penularannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDBB) Taman Semarak mewujudkan Program Pembasmian Demam Denggi dan Penyakit Tibi secara intensif bermula 31 Mac lepas.

Surady berkata, program yang diadakan setiap malam dalam tempoh dua minggu itu turut melibatkan penyertaan Pemuda Umno Kalabakan dan Pejabat Kesihatan Tawau.

“Kita berasa teruja kerana program ini hadir dalam bentuk yang lebih mesra rakyat kerana kita dapat berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat di taman itu.

“Misalnya, pada 31 Mac lepas seramai 20 ahli JKDB Taman Semarak, 10 ahli Pemuda Umno Kalabakan, 12 pegawai kesihatan dan 12 jururawat digerakkan kepada empat pasukan,” katanya.

Menurutnya, 30 rumah sudah berhasil dilawati dalam program terbabit dan tumpuan diberikan kepada aspek penerangan serta mengumpul butiran keadaan rumah.

Mengulas lanjut, Suryady menggesa penduduk di Taman Semarak supaya memberikan kerjasama sepanjang program itu berjalan demi kebaikan dan manfaat bersama.

“Kita juga ada mengadakan gotong-royong pada Ahad lepas dari jam 7-11 pagi di Taman Semarak sebagai kesinambungan kepada program ini,” katanya.

Beliau berharap JKDB dapat menyalurkan maklumat tepat dan mendekati penduduk di taman itu supaya memberikan kerjasama diperlukan sepanjang program terbabit berlangsung.