Pemeriksaan terhadap menteri Sarawak prosedur biasa

0

KOTA KINABALU: Pemeriksaan terhadap Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri James Masing yang mendakwa dirinya ditahan semasa memasuki Sabah dan disalah anggap sebagai ‘penyamar’ hanya melibatkan formaliti biasa.

“Insiden yang berlaku hanya salah faham kerana pegawai imigresen yang bertugas hanya menjalankan proses pemeriksaan dokumentasi seperti biasa, iaitu memeriksa pasport dan kad pengenalan (IC) diri penumpang.

“Walaupun menteri berkenaan menunjukkan ‘Pengenalan Istimewa’ tetapi ia tidak jelas dan bukan semua pegawai kita biasa melihat surat khas berkenaan. Atas sebab itulah, pegawai kita meminta beliau (James) menunjukkan IC,” kata Pengarah Jabatan Imigresen Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan ketika dihubungi di sini kelmarin.

Noor Alam berkata, pegawai terlibat sudah dipanggil dan difahamkan menteri berkenaan memang ada menunjukkan dokumen Pengenalan Istimewa. Bagaimanapun, mengikut prosedur imigresen, beliau (James) diminta agar turut menunjukkan IC sebagai pengesahan ketika menjalani pemeriksaan.

Beliau berkata, apa yang berlaku hanya salah faham dan menteri itu sebenarnya tidak ditahan kerana jika ditahan, beliau sudah dibawa masuk ke bilik khas.

Ketika kejadian berlaku, ia hanya berlaku di kaunter pemeriksaan imigresen. Apa yang berlaku adalah menteri berkenaan hanya diminta menunjukkan IC semasa berada di kaunter pemeriksaan imigresen ketika hendak keluar dari Sabah dan bukan ketika memasuki Sabah, seperti dilaporkan akhbar sebelum ini.

Noor Alam berkata, sekiranya menteri berkenaan didapati menyamar seperti yang didakwa olehya, sudah tentu pegawai imigresen berbuat demikian semasa beliau masuk ke Sabah dan bukan ketika beliau hendak keluar dari Sabah.

Pada 31 Mac lalu, James dipetik berkata, beliau telah ditahan oleh pegawai Imigresen Sabah kerana disalah anggap sebagai penyamar.

James yang tiba di Kota Kinabalu jam 6 petang 30 Mac lalu menunjukkan Pengenalan Istimewa yang digunakan oleh wakil rakyat dan menteri di kaunter pemeriksaan tetapi beliau tidak dibenarkan masuk.

Katanya, beliau berhadapan kesukaran untuk meyakinkan pegawai bahawa beliau memang wakil rakyat.

“Saya ditahan mungkin kerana saya hanya memakai seluar jeans, saya tidak tahu pula bahawa YB dan menteri harus berpakaian kemas ketika di Sabah.

“Ia amat memalukan. Saya perlu membuktikan bahawa saya James Masing dengan menunjukkan kad pengenalan,” katanya.