Timor Leste yakin jadi negara anggota Asean

0

Xanana Gusmao

KOTA KINABALU: Sebagai sebuah negara yang paling muda dan miskin di rantau Asia Tenggara, Republik Timor Leste yakin mampu menjadi negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) sekiranya berjaya mematuhi segala syarat dan keperluan.

Perdana Menteri Republik Timor Leste Xanana Gusmao berkata, republik itu akan berusaha mengatasi segala cabaran yang ada untuk menyertai Asean.

Buat masa ini, negara itu sedang melaksanakan syor-syor yang dikenalpasti melalui kajian yang dikendalikan oleh sekretariat Asean terhadap Timor Leste.

“Kami akan mengikut prosedur dan mematuhi segala permintaan terutama yang melibatkan keselamatan serta aspek sosial dan budaya.

“Kami menyedari had dan cabaran yang kami hadapi untuk menjadi negara anggota Asean. Tetapi, sebagai negara yang termuda dan miskin di rantau ini, kami percaya penyertaan Timor Leste dalam Asean akan memberi peluang kepada kami untuk membangun. Penyertaan ini juga akan turut memberi manfaat kepada negara dan masyarakat dalam kalangan anggota Asean yang lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif bagi anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Hubungan Antarabangsa kepada Perdana Menteri Republik Timor Leste itu, di Dewan Canselor UMS, di sini kelmarin.

Gusmao berkata, ekonomi negara itu berkembang tahun demi tahun dan menjadi antara 10 negara yang mempunyai perkembangan pesat dalam pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2011.

Beliau berkata, berikutan permohonan penyertaan republik itu sebagai negara anggota Asean, Majlis Koordinasi Asean menubuhkan Kumpulan Pekerja Asean untuk membincangkan permintaan berkenaan.

Malah, sekretariat Asean termasuk bahagian ekonomi telah mendapatkan sokongan daripada Bank Pembangunan Asia bagi mengendalikan kajian mengenai Timor Leste.

Sasaran utama adalah bagi mengkaji kesan, implikasi dan cabaran terhadap permohonan penyertaan Timor Leste dan pengesahannya dalam Perjanjian Ekonomi Asean.

Gusmao berkata, negara itu telah mengemukakan permohonan penyertaan menjadi negara anggota Asean pada March 2011.

Penyertaan dalam Asean sangat penting kerana ia melibatkan keamanan, kerjasama dan pembangunan negara-negara yang menyertainya. Memandangkan Timor-Leste adalah sebahagian Selatan Asia, mereka berharap negara itu akan menjadi anggota Asean secepat mungkin.

Menyentuh mengenai apa yang republik itu boleh tawarkan bagi menjadi negara anggota Asean, beliau berkata walaupun berdepan masalah sumber manusia dan menyesuaikan undang-undang seperti yang dipraktikkan oleh negara anggota lain, negara itu mempunyai sejarah 12 tahun bagi membina sebuah negara.

Republik itu mendapatkan kembali kedaulatan negara mereka pada 20 Mei 2002.

“Kami menunjukkan kemajuan yang sangat luar biasa dari segi masa. Walaupun ia agak sukar tetapi kami berjaya mencapainya,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan negara Timor Leste sangat sukar kerana semua kemudahan telah musnah, sumber manusia lemah dan tiada pengalaman memerintah. Malah tiada institusi negeri dan undang-undang.

Bagaimanapun, republik itu menerima sokongan daripada masyarakat antarabangsa.

“Dari September 1999 hingga kepada pemulihan kemerdekaan, kami mempunyai kekuatan ketenteraan dan politik dengan sokongan masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia. Dengan itu, kami berupaya mengalihkan pentadbiran wilayah itu, di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).