UMS-Timor Leste jalin kerjasama latih tenaga mahir industri minyak dan gas

0

Juhar menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Hubungan Antarabangsa kepada Gusmao sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif yang diadakan di Dewan Canselor UMS.

KOTA KINABALU: Melihat keperluan tenaga kerja mahir dalam industri minyak dan gas yang semakin meningkat, Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memperkenalkan program diploma dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas bermula September ini.

Melalui program itu, 10 program diploma dalam bidang kejuruteraan seperti pemprosesan, instrumentasi, mekanikal, kejuruteraan elektrik dan utiliti. Daripada jumlah itu, lima program ditawarkan di peringkat diploma eksekutif dan lima program lagi di peringkat diploma tetap.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Harun Abdullah berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif bagi memberi anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Hubungan Antarabangsa kepada Perdana Menteri Republik Timor Leste Xanana Gusmao di Dewan Canselor UMS, di sini kelmarin.

Majlis penganugerahan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS Tun Juhar Mahiruddin.

Harun berkata fakulti itu akan terus menyumbang lebih banyak program akademik dalam bidang minyak dan gas pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang dijangka menawarkan 16,000 pekerjaan setiap tahun di Malaysia.

Beliau berkata, melalui program peringkat diploma ijazah sarjana muda sehingga ke pascasiswazah, UMS akan menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga kerja yang dalam industri mineral dan petroleum di Timor Leste.

Menurutnya, Sabah memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas dalam menarik RM45 bilion pelaburan sejak tahun 2012.

Ia termasuk pelaburan huluan berjumlah RM28 bilion dan pelaburan hiliran berjumlah RM 17 bilion yang melibatkan projek utama huluan seperti di Lapangan Minyak Gumusut-Kakap; Lapangan GAS Kinabalu NAG; serta projek hiliran seperti Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) Kimanis; dan Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR).

Dalam pada itu, Harun turut mengucapkan tahniah kepada Gusmao dan 38 anggota delegasi dari Timor Leste yang hadir menyaksikan majlis penyampaian anugerah itu.

Delegasi berkenaan turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UMS dan Kementerian Pendidikan Republik Timor Leste.

MoU itu ditandatangani oleh Pendaftar UMS Datuk Abdullah Said, Presiden National Petroleum Authority Timor Leste Gualdino be Silva dan Menteri Pendidikan Timor Leste Benito Freites.

Melalui MoU yang ditandatangani itu, UMS akan menyediakan kepakaran dan kemahiran dengan mewujudkan skim latihan dalam industri minyak dan gas untuk penduduk terpilih dari Republik Timur Leste.

Terdahulu Harun dipetik berkata, pada peringkat awal, UMS akan menawarkan peluang pengajian di peringkat sijil hingga diploma kepada 30 pelatih terpilih dari negara itu.

Hasil daripada MoU itu, Pusat Perhubungan UMS-Timor Leste di Bangunan Canselori turut dirasmikan kelmarin.

Pusat itu bertujuan menyelaras dan mengeratkan jalinan hubungan dengan republik berkenaan.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Rahim Bakri, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan serta menteri Kabinet yang lain.