Hadiah lumayan nanti pemenang Larian Belia Merdeka Ke-2 2014

0

KUCHING: Hadiah lumay­an berjumlah keseluruhan RM50,000 bakal menanti pemenang Larian Belia Mer­deka Ke-2 2014 yang akan ber­mula pada bulan Mei depan.

Pengerusi Pewaris Anak Sarawak Datuk Rahman Lari­woo yang juga penganjur lar­ian berkata, hadiah berkenaan akan dibahagikan kepada pemenang di empat zon iaitu Miri, Sibu, Kota Samarahan dan Kuching.

“Larian kali ini akan diba­hagikan kepada empat zon di mana ia bakal bermula di Miri pada Mei depan, disusuli Sibu pada pertengahan Jun dan Kota Samarahan selepas Hari Raya Aidilfitri pada Ogos.

“Sepuluh pemenang dari setiap zon akan bersaing pada larian terakhir yang akan di­adakan di Kuching bertempat di pekarangan Dewan Un­dangan Negeri (DUN) lama pada 31 Ogos nanti,” katanya pada sidang media larian itu, semalam.

Menurutnya, hadiah bagi se­tiap zon berjumlah RM10,000, manakala perlumbaan uta­ma di Kuching berjumlah RM20,000.

“Kategori pertandingan sama seperti pada edisi lepas di mana 10 pemenang bagi se­tiap kategori di setiap zon akan menerima hadiah termasuk sijil penyertaan,” tambahnya.

Larian melibatkan lapan kategori iaitu lelaki dan wanita terbuka, lelaki dan wanita veteran 50 tahun ke atas, lelaki dan wanita 18 tahun ke bawah dan kanak-kanak lelaki dan perempuan 12 tahun ke bawah.

Peserta lelaki dan wanita terbuka akan menempuh la­luan sejauh 8km, manakala kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan 12 tahun ke bawah sejauh 4km.

Jarak sejauh 6km pula ditetapkan bagi kategori lelaki dan wanita veteran 50 tahun ke atas dan lelaki dan wanita 18 tahun ke bawah.

“Kita menyasarkan seramai 2,000 peserta pada perlumbaan utama di Kuching. Justeru, saya menyeru masyarakat setempat terutama golongan belia menyertai aktiviti sihat ini,” tambahnya.

Rahman menambah lar­ian itu juga bertujuan mem­promosi budaya sihat selain mengeratkan hubungan antara kakitangan awam termasuk pemimpin negeri.

Mereka yang berminat boleh mendapat borang penyertaan dengan menghubungi Majlis Sukan Negeri bahagian.

Larian kali ini dianjurkan oleh Pewaris Anak Sarawak dengan kerjasama Kemente­rian Pembangunan Sosial Neg­eri (KPS), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan agensi-agensi kerajaan tempatan.