Tegas tidak benarkan pelampau masuk Sarawak

0

MEMOTONG KEK: Adenan serta yang lain memotong kek pulut kuning sebagai tanda kesyukuran pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Lundu semalam.

LUNDU: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bertegas tidak akan membenarkan kemasukan golongan pelampau ke Sarawak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Lundu di sini semalam, Adenan berkata meskipun terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, rakyat negeri ini tidak pernah berkelahi disebabkan agama.

“Jangan sesekali anda ikut dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Jangan cuba memandai-mandai dan buat perkara yang tidak baik yang boleh menggugat keharmonian kita di sini.

“Kekalkan cara kita yang baik, saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan selagi kita tidak membenarkan golongan ektremis datang ke negeri ini saya berani jamin Sarawak akan terus selamat,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan mengakui bahawa tanggungjawab sebagai Ketua Menteri adalah berat namun ia akan menjadi ringan jika ada kerjasama daripada semua pihak.

KETIBAAN: Masyarakat dari sekitar daerah Lundu menyambut ketibaan Adenan ke Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Lundu semalam.

“Negeri Sarawak ini jika membentuk kerajaan ia perlu mencerminkan kedudukan kaum-kaum di Sarawak.

“Sebagai Ketua Menteri tidak boleh menjadi ketua untuk satu kaum sahaja sebaliknya untuk semua kaum.

“Jika kita berpegang kepada prinsip ini iaitu sedia untuk berkongsi kuasa maka selamatlah negeri dan negara ini.

“Begitulah yang telah dicapai dan ditunjukkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” kata Adenan.

Tambah Adenan lagi, kebelakangan ini orang Cina dilihat tidak mahu menyertai kerajaan BN dan pada Pilihan Raya Negeri 2011, daripada 55 kerusi yang diwakili BN hanya dua diwakili orang Cina.

Sebaliknya bagi pembangkang, daripada 16 kerusi yang diwakili oleh pembangkang 14 daripadanya diwakili oleh orang Cina.

“Keadaan ini perlu diselesaikan pada masa akan datang sama ada orang Cina mahu menyertai kerajaan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun kita perlu berusaha dan memastikan semangat hormat-menghormati antara satu sama lain terus terpelihara,” tambah Adenan Menyentuh mengenai aspek pembangunan, Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu berkata kerajaan akan membina jalan raya dari Tanjong Datu hingga Lawas bagi melengkapi Jalan Pan Borneo.

Dari segi penembusan bekalan air dan elektrik pula katanya, 80 hingga 90 peratus daripada kawasan Tanjong Datu telah menikmati kemudahan ini dan ia akan terus dipertingkatkan dalam tempoh terdekat ini.

Pada majlis itu Adenan turut meluluskan pelantikan seorang lagi pemanca bagi kaum Iban di Lundu dan seorang penghulu bagi kaum Cina di Sematan.