Atlet sukan permotoran Sarawak mampu bersaing di luar negara

0

MIRI: Usaha Sarawak untuk melahirkan atlet untuk mewakili Malaysia dalam sukan permotoran bukan lagi angan- angan kosong, sebaliknya telah pun direalisasikan.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata ketika ini tiga individu dari Sarawak telah pun dipilih bagi mewakili Malaysia pada Kejohanan FIM-Asia Motocross 2014.

“Ini membuktikan bahawa Sarawak antara negeri yang harus digeruni dalam sukan permotoran lasak dan kita berharap lebih ramai atlet tempatan mengharumkan nama negeri dan Malaysia,” katanya di sini semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan memberitahu, tiga individu yang dimaksudkan ialah Chin Vui Ming (Miri), Jong Sze Ping (Kuching) dan Syahrizan Sambela (Lawas).

Ketiga-tiga pelumba itu akan bersaing di Litar Motocross Gong Badak, Terengganu pada 10 hingga 12 April ini dan pemilihan mereka berdasarkan prestasi pada kejohanan lalu.

Menurutnya, pelumba berkenaan terpilih selepas mencatatkan keputusan terbaik pada Kejohanan Motocross Malaysia AAM 2013 dan Kejohanan AAM Motocross Borneo 2013.

Sementara itu, pihaknya juga akan terus mempertingkat kualiti Litar Motocross Miri (LMM) yang kini mencapai standard litar antarabangsa.

“Kita percaya dengan kemudahan litar yang serba lengkap, maka akan lebih banyak penganjuran kejohanan dapat dibuat bagi menarik bakat-bakat baharu dalam sukan itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited menjadikan sukan lasak itu sebagai salah satu acara sukan popular setanding dengan kejohanan permotoran lain.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menjelaskan, persatuan atau kelab sukan permotoran harus mengambil peluang menganjurkan kejohanan berprestij di LMM.

“Kita berharap kelab sukan permotoran tempatan terutama Kelab Motocross Sarawak menganjurkan lebih banyak kejohanan melibatkan pelumba dalam dan luar negara.

“Ini kerana pelumba sedia ada (sudah mewakili negeri atau negara) memerlukan pelapis baharu dan adalah penting golongan ini dicari bakatnya menerusi kejohanan,” katanya.