BIYC layak mendapat status acara kebangsaan, kata Lee

0

MIRI: Kejayaan penganjuran Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo (BIYC) selama satu dekad adalah alasan kukuh untuk menaik taraf satu-satunya regata kapal layar di Borneo itu sebagai acara peringkat kebangsaan.

Menteri Muda Sukan merangkap Pengerusi Bersama BIYC, Datuk Lee Kim Shin merayu kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk memenuhi impian tersebut selain penting untuk menambah tajaan dan dana penganjuran.

“Setiap tahun kita membuat rayuan dan kita tidak berputus asa. Ini merupakan tahun ke-11 kita menganjurkan perlumbaan ini. Kita boleh faham sekiranya kita baru bermula satu atau dua tahun. Kita berjaya membuktikan aktiviti ini sebagai aktiviti mapan. Jadi kita mintalah sokongan dan tajaan dari Kementerian Pelancongan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau membeliau, BIYC melibatkan kerjasama antara Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah memerlukan sokongan tajaan dan dana tambahan dari kerajaan pusat termasuk swasta.

Kejayaan BIYC selama ini juga atas semangat dedikasi dan minat mendalam para sukarelawan mahu membangunkan sukan kapal layar di Borneo.

Ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja BIYC kelmarin, Lee memberitahu, penyertaan peminat sukan kapal layar dari luar negara masih mendapat sambutan yang menggalakkan khasnya dari Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Untuk kejohanan yang bermula pada 14 hingga 21 Jun ini, Australia menghantar 15 pasukan iaitu yang teramai setakat ini dari 44 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan.

New Zealand dan UK masing- masing enam pasukan, Singapura, Afrika Selatan, Filipina, Jerman, Belanda, Hong Kong dan Amerika Syarikat masing-masing menghantar satu pasukan.

“Pada tahun ini, Malaysia menghantar sebanyak lapan pasukan termasuk kapal Hulu Mulu (Sarawak) iaitu penyertaan terbesar kita dalam BIYC,” jelas Lee yang turut berharap lebih banyak pasukan akan menghantar penyertaan mereka.

Lee berkata, BIYC bermula dengan perlumbaan Miri Harbour pada 15 Jun.

Semua kapal akan bertolak ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 Jun dari Marina Miri pada jam 10 pagi.