Pembukaan banyak hospital swasta di Sabah

0

Masidi (empat kiri) bersama Khairil (tiga kiri) dan Tan (kanan) merasmikan acara pembinaan aras terakhir Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pembukaan lebih banyak hospital swasta di Sabah termasuk Hospital Gleneagles Kota Kinabalu (GHKK) yang dijangka mula beroperasi suku tahun pertama 2015, memberi keyakinan kepada negeri ini untuk menawarkan pelancongan perubatan kepada pelancong asing.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, buat masa ini ada sesetengah pesakit terpaksa ke hospital swasta di Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk mendapatkan khidmat perubatan.

Beliau berharap agar pembukaan hospital baharu itu dan pembinaan banyak hospital swasta di Sabah akan menyediakan alternatif dalam bidang perubatan.

Katanya, kemasukan GHKK juga akan membuka ruang kepada pegawai dan kakitangan dalam bidang kesihatan yang berkelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Malah, ada antara pegawai dan kakitangan kesihatan yang berasal dari Sabah bekerja di Semenanjung Malaysia dan luar negara berikutan kekurangan perkhidmatan kesihatan swasta di negeri ini. Diharapkan situasi ini akan berubah kelak,” katanya dalam ucapannya sempena acara pembinaan aras terakhir GHKK, di sini kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Musa berharap apabila hospital itu mula beroperasi kelak, ia dapat melaksanakan program outreach di kawasan pedalaman bagi membolehkan masyarakat di sana mendapat manfaat perubatan.

Sementara itu, Masidi berkata dengan pembukaan hospital itu, ia dijangka mampu menggalakkan lagi perkembangan sektor pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, Kota Kinabalu terletak hanya lima jam dari bandar-bandar utama di Asia dan kedudukannya amat strategik. Tiada lagi tempat lain yang strategik dan sesuai untuk perniagaan perkhidmatan kesihatan.

Ditanya mengenai hospital swasta yang selalunya dikaitkan untuk orang kaya, beliau berkata dalam sesuatu perniagaan apa yang perlu adalah orang yang mampu membayar kos perkhidmatan.

“Ia memerlukan masa untuk memasarkan sesuatu perkhidmatan dan saya percaya GHKK mampu melakukannya,” katanya.

Masidi berkata, pembinaan banyak hospital swasta di negeri ini akan menambah keyakinan pelancong luar untuk datang mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti di sini.

Beliau yakin Sabah juga mampu memberi perkhimatan kesihatan yang baik sama seperti ditawarkan di Singapura.

Pengerusi Pantai Holdings Berhad Datuk Khairil Anuar Abdullah berharap masyarakat di negeri ini akan menikmati perkhidmatan kesihatan seperti yang diberikan oleh GHKK yang memang terkenal memberi perkhidmatan kesihatan yang baik.

Pembukaan GHKK di negeri ini berikutan pembangunan pesat di negeri ini. GHKK bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan tetapi juga pelancong luar.

Kataya, Hospital Gleneagles adalah sebahagian daripada projek Pantai Holdings yang kini mempunyai 12 hospital di Semenanjung Malaysia.

Kumpulan Pantai Holdings kini mempunyai 820 doktor serta 2,000 jururawat dan menerima pesakit seramai 158,000 orang setahun.

Bagi Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Berhad Dr Tan See Leng, dengan pengalaman 40 tahun dalam bidang kesihatan di Malaysia, beliau yakin GHKK mempunyai potensi yang besar.

Jelasnya, dengan perkembangan pesat ekonomi Sabah, mereka melihat ada pasaran besar di negeri ini dalam bidang perkhidmatan kesihatan.

Tan berharap dengan adanya GHKK di negeri ini, ia membolehkan Kota Kinabalu menjadi salah satu destinasi pelancongan perubatan di Malaysia.

Katanya, tidak kira di mana mereka berada, keutamaan akan diberi untuk memberi perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa kepada masyarakat tempatan.

GHKK akan beroperasi dengan 200 katil, 80 suit, enam bilik pembedahan serta menyediakan perkhidmatan kecemasan yang dibuka 24 jam termasuk Unit Rawatan Rapi.