Daiken taja baju ahli BKF sertai pertandingan dunia

0

BINTULU: Daiken Sarawak Sdn Bhd menaja baju pasukan untuk lima ahli Team Silat of Bintulu Kite Flyer (BKF) Malaysia yang akan mengambil bahagian pada Kejohanan Sukan Layang-Layang Dunia Ke-9 di Rivc Berck, Perancis dari 11 hingga 21 April ini.

Pengurus BKF Malaysia Sia Jau Ren berkata, pasukan yang diketuai oleh Abu Hanifah Ismail itu bakal berentap dengan pasukan-pasukan antarabangsa lain pada kejohanan berprestij tersebut.

“Saya berharap pasukan ini yang berpengalaman luas dalam pertandingan layang-layang sama ada di peringkat kebangsaan mahupun dunia, mengekalkan rekod cemerlang mereka serta berusaha yang terbaik bagi memperolehi kemenangan,” ujarnya ketika ditemui media sejurus selepas majlis penyerahan baju pasukan di Bilik Konferens, Daiken di Jalan Tanjung Kidurong di sini petang kelmarin.

Sia berkata, beliau yakin BKF mampu pulang dengan kejayaan lebih ceemrlang kerana sebelum ini pasukan berkenaan pernah memenangi beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ini termasuk juara Kejohanan Layang-Layang Antarabangsa Weifang di China pada tahun 2011 dan meraih tempat kedua pada Kejohanan Layang-Layang Kategori Sportkite di Bintulu pada 2012.

Beliau pada masa sama mengakui persaingan adalah amat sengit kerana kejohanan itu disertai oleh pasukan-pasukan handalan dari seluruh dunia seperti China, Colombia, Perancis, Jepun, Lithuania dan Rusia.

“Namun begitu, dengan pencapaian yang agak memberansangkan sepanjang pasukan ini berkecimpung dalam arena sukan layang-layang, bukan sesuatu yang mustahil BKF berupaya membolot kejuaraan juara pada kejohanan yang penuh prestij ini nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Daiken K Katsumata berharap BKF mencuba yang terbaik pada kejohanan itu nanti kerana ia merupakan peluang terbaik untuk mereka mengembangkan bakat serta potensi dalam arena sukan yang mempunyai audiens tersendiri.

“BKF perlu komited bagi membantu merealisasikan impian pasukan dan rakyat negara ini yang menginginkan mereka memperolehi kemenangan besar pada kejohanan itu nanti,” ujar beliau.

Difahamkan, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turut memberikan sumbangan kepada BKF bagi melancarkan perjalanan pasukan tersebut untuk menyertai kejohanan itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha BDA, Mohd Bohari Kipli.