Kerajaan kaji semula pelan

0

KOTA KINABALU: Seiring dengan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, kerajaan negeri dalam proses mengkaji semula pelaksanaan Pelan Struktur Negeri Sabah.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata, pelan berkenaan akan menjadi instrumen untuk memandu hala tuju pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, pelaksanaannya akan dibuat melalui Pelan Tempatan dan Pelan Daerah dengan lebih terperinci.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan perumahan mampu milik dan memastikan pembangunan wilayah yang seimbang.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 10,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di kawasan bandar dan pinggir bandar akan dibina oleh pemaju swasta.

“Kerajaan pusat melalui Jabatan Perumahan Negara akan membantu dalam pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di mana sebanyak 10,000 unit baru dijangka akan dibina di Sabah dalam tahun 2014.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengenal pasti tapak-tapak yang sesuai untuk pembinaan PPR dan RMM,” katanya.

Beliau berlata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-14, di sini kelmarin.

Juhar berkata, bagi tahun 2014, fokus utama kerajaan adalah untuk merancang dan melaksanakan projek-projek yang berimpak tinggi.

Projek-projek berkenaan jelasnya, adalah untuk meningkatkan jaringan sistem jalan raya di seluruh negeri, penyediaan bekalan air bersih, pemodenan perkhidmatan kereta api dan meningkatkan kemudahan infrastruktur Maritim sama ada untuk kegunaan awam mahupun yang membabitkan pelaburan-pelaburan komersil.

“Tahun 2013 adalah tahun yang bermakna bagi negeri Sabah kerana pelbagai projek mega berimpak tinggi berjaya dilaksanakan.

“Landskap di persekitaran negeri ini terutama di Bandaraya Kota Kinabalu turut mengalami perubahan drastik hasil dari pembinaan pelbagai projek ikonik yang berupaya menambahkan lagi corak pembangunan di ibu negeri,” katanya.

Menurutnya, banyak projek yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat berjaya dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ia termasuklah pembinaan projek ‘jogging & cycling track’ sepanjang 5.2 kilometer di Teluk Likas dan pembinaan bangunan baru Hospital Queen Elizabeth (QEH) 1 di samping pembinaan beberapa pusat kesihatan swasta yang bakal didirikan.

Selain itu Juhar berkata, projek Kota Kinabalu Waterfront dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah antara projek-projek baru berimpak tinggi yang akan mengangkat imej Bandaraya Kota Kinabalu.

“Konsep mesra persekitaran dan aplikasi penggunaan teknologi hijau adalah usaha kerajaan dalam menggalakkan pembangunan dan gaya hidup mesra alam di negeri ini.

“Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang memulakan operasi sejak Disember 2013 membantu menambahbaik sistem penyampaian kerajaan.

“Di samping itu, ia berfungsi sebagai pusat sehenti untuk kemudahan rakyat,” jelasnya sambil menambah, kerajaan juga melaksanakan pelbagai projek baru untuk membantu menjana ekonomi negeri seperti Projek Sabah Ammonia Urea (Samur) di Sipitang dan Loji Jana Kuasa Geothermal di Tawau.

Juhar berkata, apa juga perancangan dan program sama ada dari kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, asas dan dasarnya adalah kesejahteraan rakyat.

Justeru katanya, setiap perancangan dan program kerajaan perlu dijalankan dan dilaksanakan agar ia dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhannya.

Menurutya, kerajaan dan rakyat harus dalam keadaan timbal balik yang memberi dan saling menerima.

“Kerajaan memberi dalam erti kata menjalankan tanggungjawabnya mentadbir negara, manakala rakyat pula sebagai penerima dalam erti kata menikmati hasil perancangan dan pelaksanaan program-program kerajaan,” katanya.