Kompleks Kebajikan Rumah Anak Yatim Bintulu kini siap

0

BINTULU: Pembinaan Kompleks Kebajikan Rumah Anak Yatim Bintulu yang berkos RM10.5 juta di Kampung Jepak kini telah siap sepenuhnya dengan menyasarkan pengambilan anak-anak yatim ke kompleks itu pada Jun atau Julai tahun ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman (gambar) berkata, pengangkutan untuk membawa anak-anak yatim ke kompleks itu telah sedia dan segala perabot serta beberapa keperluan lain sedang diusahakan untuk rumah anak-anak yatim itu.

“Bagi Bintulu akan dipengerusikan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Mohidin Ishak,” jelasnya.

Katanya, pembinaan kompleks itu berjalan lancar dan dijangka akan beroperasi pada tahun ini.

“Kompleks itu merupakan yang keempat dibina di Bintulu selepas pembinaan kompleks yang sama di Kuching, Sibu dan Miri,” katanya semasa diminta mengulas mengenai perkembangan terkini pembinaan kompleks terbabit di sini semalam.

Beliau berkata apabila kompleks itu siap dibina pihaknya akan melihat kemampuannya dengan permulaan untuk pengambilan minimum 50 anak yatim untuk memberi peluang kepada mereka yang berpengalaman mengendalikannya terlebih dahulu dan seterusnya maksimum pengambilan adalah 200 orang.

Sementara itu, Mohidin berkata kompleks itu telah 100 peratus siap dan pihaknya akan mempercepatkan operasi kompleks itu.

“Ia melibatkan pengurusan kakitangan, kemudahan sambungan bekalan air dan elektrik bagi membolehkan kemasukan anak-anak yatim ke kompleks ini dapat dilakukan dengan segera,” tambahnya.